PENGGIAT seni, Nam Ron. FOTO Rosela Ismail
PENGGIAT seni, Nam Ron. FOTO Rosela Ismail
Norhayati Nordin


PENGGIAT seni berkaliber seperti Nam Ron, 49, nyata sudah berada dalam liga tersendiri di persada industri hiburan tanah air.

Bersandarkan sepenuhnya kepada bakat, siapa sangka Nam Ron berjaya mengatur langkah seni­­nya hingga ke luar negara.

Sama ada berbicara mengenai teater mahupun filem, Nam Ron sudah menjejak dunia melalui daya kreativitinya.

Tidak pernah menjadikan bahasa sebagai halangan, pemilik trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) ini ada pandangan tersendiri.

Bagi Nam Ron atau nama sebenarnya Sha­­hili Abdan, tidak akan jatuh ‘standard’ pun jika menggunakan bahasa kebangsaan.

“Sebenarnya, memang menjadi cara saya memilih menggunakan bahasa Malaysia di dalam forum atau bengkel seni yang disertai di luar negara.

“Bagi saya, lebih selesa berbicara menggunakan bahasa kebangsaan yang menjadi identiti negara. Kalau orang Jepun, Korea Selatan, Itali dan Russia boleh melakukannya dengan bertutur bahasa kebangsaan mereka, kenapa tidak kita?

“Jadi, sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan bahasa kebangsaan, inilah cara saya,” katanya.

Dikagumi

Pada Julai lalu, Nam Ron bertutur dalam bahasa Malaysia ketika menghadiri forum membicarakan filem arahannya One, Two, Jaga di New York Asian Film Festival (NYAFF), Amerika Syarikat.

Tindakan berani Nam Ron itu mendapat pujian netizen di laman sosial yang kagum dengan

pendiriannya.

Menurut pelakon berbakat besar ini, dia sama sekali tidak malu bertutur bahasa Malaysia di hadapan masyarakat luar.

“Bagi saya, masyarakat luar bersikap terbuka mengenai bahasa. Oleh itu, bahasa tidak menjadi satu kekangan. Pada mereka, apa yang paling utama ilham dan kreativiti dihasilkan dalam sesuatu karya seni itu hendaklah menarik.

“Soal bahasa, ia boleh difahami menerusi bantuan penterjemah yang disediakan penganjur majlis,” katanya.

Sementara itu, filem One, Two, Jaga akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 6 September ini.

Ia sebuah karya ‘berat’ yang membawa penonton menyelami permasalahan rasuah dan pendatang asing.

Jalan cerita yang dekat dengan masyarakat, perbincangan menghasilkan filem One, Two, Jaga itu dibuat pada 2014.

Malah, aktiviti penggambaran bermula pada pertengahan 2016 selepas memperoleh suntikan dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

“Selepas melalui ba­­nyak cabaran, saya teruja untuk berkongsi hasil pembikinan filem ini kepada penonton tanah air.

“Hingga kini, menerusi forum disertai di luar negara maklum balas diterima agak baik dan positif,” katanya.

Antara barisan pelakon filem One, Two, Jaga ialah Beto Kusyairi, Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Sofia Jane dan Zaidi Omar.

Tidak ketinggalan, ia turut dimantapkan de­­ngan pembabitan pelakon dari Indonesia iaitu Ario Bayu dan Asmara

Abigail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 2:12 AM