DARI kiri Ketua Pegawai Eksekutif GSC Koh Mei Lee, Siti Saleha, Duta Perancis ke Malaysia Frederic Laplanche dan Tengku Zatasha pada pelancaran LFF 2018.
DARI kiri Ketua Pegawai Eksekutif GSC Koh Mei Lee, Siti Saleha, Duta Perancis ke Malaysia Frederic Laplanche dan Tengku Zatasha pada pelancaran LFF 2018.
Georgie Joseph

Menjadi antara festival filem dan kebudayaan luar negara paling dinanti di sini, Le French Festival (LFF) 2018 kembali dengan edisi ke-17.

Semestinya, acara itu seperti biasa menyajikan kehebatan seni dan budaya dari Perancis untuk peminatnya di sini.

Selama 16 tahun penganjurannya, festival berkenaan memenuhi kehendak peminat di Malaysia dengan pelbagai pengalaman berkaitan budaya Perancis dan ia diteruskan dengan program lebih menarik.

Anjuran Alliance Francaise Kuala Lumpur (AFKL) dan Kedutaan Perancis di Malaysia dengan sokongan Institut Francais, LFF 2018 berlangsung sejak 12 April sehingga 20 Mei nanti.

Edisi kali ini sedikit berbeza apabila selain tiga lokasi berbeza iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, buat pertama kali ia akan dibawa ke Johor Bahru.

Menurut Presiden AFKL Tengku Datin Paduka Setia Zatasha Sultan Sharafuddin Idris Shah, acara berkenaan pastinya akan memperkukuhkan pertukaran budaya antara Perancis dan Malaysia.

“Pasukan kami sentiasa menyasarkan untuk membawa pengalaman mengenai Perancis yang lebih segar dan menyeronokkan buat rakyat Malaysia.

“Dengan lebih daripada satu program setiap hari, saya yakin kami dapat membina platform kukuh dalam menaikkan lagi momentum pertukaran budaya. Selain itu, ia bertujuan menggalakkan orang ramai meneroka budaya Perancis,” katanya.

Program yang dipilih dengan teliti untuk LFF 2017 ini sentiasa menawarkan sesuatu untuk semua peringkat umur, memenuhi kepentingan awam dalam budaya Perancis itu sendiri yang merentasi pelbagai demografi.

Paling penting, peminat seni, filem, muzik dan pencinta makanan pasti akan teruja dengan pelbagai aktiviti LFF tahun ini. Ia merangkumi kategori baru diperkenalkan seperti seni persembahan dan seni bina.

Festival Filem Perancis turut bekerjasama dengan Golden Screen Cinema (GSC) menerusi tayangan 16 filem. Tidak ketinggalan, lawatan daripada artis muzikal dari negara itu yang sanggup turun padang.

Antara cerita yang menarik perhatian ialah Back to Burgundy (Ce Qui Nous Lie), Into The Forest (Dans la foret), A Kid (Le Fils De Jean), Step By Step (Patients), Django, dan The Magic Tuche (Les Tuche 3)’.

Pemain piano terkenal, Duo Jatekok dan band rock Lysistrata juga bakal menghiburkan peminat muzik Perancis di acara itu kelak.

Pada edisi kali ini, selebriti tempatan, Siti Saleha turut dilantik sebagai tetamu istimewa sepanjang LFF berlangsung.

Bagi mendapatkan maklumat dan jadual aktiviti segera, layari www.lefrenchfestival.com.my atau Le French Festival di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 12:49 AM