TUNJUK keratan artikel mengenai FFF2018 dari HM untuk tebus tiket percuma.
TUNJUK keratan artikel mengenai FFF2018 dari HM untuk tebus tiket percuma.
Michelle Gun


Pesta Filem Perancis 2018 (FFF2018) kembali memeriahkan pawagam Golden Screen Cinema (GSC) dengan memperkenalkan 16 karya hebat dari negara itu kepada peminatnya di sini.

Acara anjuran Alliance Francaise (AF) dan Kedutaan Perancis di Malaysia itu akan berlangsung selama lima minggu mulai 12 April hingga 20 Mei ini.

Seperti tahun sebelumnya, FFF2018 akan berlangsung di empat lokasi berbeza iaitu Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu, Sabah.

Edisi kali ini banyak mengetengahkan karya berkonsepkan drama dan komedi di samping memaparkan budaya masyarakat Perancis kepada penonton.

Dua karya komedi, Return of the Hero dan The Magic Tuche adalah filem baru yang ditayangkan tahun ini.

Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak menyaksikan animasi Big Bad Fox & Other Tales yang mengisahkan sekumpulan haiwan di sebuah ladang.

Animasi arahan Benjamin Renner dan Patrick Imbert itu dibahagikan kepada tiga kisah pendek melucukan mengenai seekor rubah mencuri telur ayam yang kemudian menetas.

Ia juga mengisahkan sekumpulan arnab yang mempercayai mereka membunuh Santa Klaus.

FFF2018 boleh disaksikan di pawagam GSC Pavilion Kuala Lumpur, Mid Valley Megamall dan 1Utama Shopping Centre mulai 12 hingga 29 April ini.

Selepas itu, acara berkenaan akan menemui penonton di GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang pada 3 hingga 13 Mei.

Seterusnya adalah GSC Paradigm JB Mall, Johor Bahru pada 10 hingga 13 Mei ini.

Lokasi terakhir adalah GSC Suria Sabah Mall, Kota Kinabalu pada 17 hingga 20 Mei ini.

Tonton filem percuma

Sempena tayangan FFF2018, GSC menawarkan tiket menyaksikan 14 karya secara percuma.

Bagaimanapun, penonton perlu membayar tiket untuk menyaksikan filem C’est La Vie dan Big Bad Fox and Other Tales.

Cara memperoleh tiket percuma mudah saja iaitu dengan menunjukkan keratan artikel mengenai FFF2018 dari akhbar Harian Metro (HM).

Setiap keratan hanya boleh menebus dua tiket dan terhad kepada seorang sahaja berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Penebusan tiket boleh di dilakukan di kaunter GSC Mid Valley mulai jam 11 pagi, esok.

Maklumat lanjut mengenai FFF2017 boleh melayari laman web www.gsc.com.my atau www.lefrenchfestival.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 4:54 AM