URBANSCAPES 2019 lebih meriah dengan lebih 80 program.
URBANSCAPES 2019 lebih meriah dengan lebih 80 program.
Oleh Georgie Joseph


FESTIVAL seni kreatif popular di Kuala Lumpur, Urbanscapes 2019 kembali lagi bermula 16 November lalu sehingga Ahad ini.

Festival yang turut merangkumi muzik, filem, pasar kreatif dan kulinari itu nyata terus mendapat sambutan.

Pada acara pembukaannya baru-baru ini, festival berkenaan terus mendapat sambutan terutama daripada golongan muda. Bukan saja dari Malaysia, malah dihadiri pengunjung luar negara.

Apa yang pasti, edisi kali ini ada misinya tersendiri iaitu menjadikan sekitar bandar raya Kuala Lumpur sebagai pusat tumpuan ramai.

Selain memartabatkan industri seni kreatif tempatan, Urbanscape 2019 mahu lokasi seperti Medan Pasar, REXKL dan Sentul Depot bertukar menjadi taman permainan buat pencinta seni.

Pengasasnya, Adrian Yap berkata, tahun ini pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang sembilan hari untuk menarik lebih ramai pengunjung.

“Sebagai satu daripada penganjur festival ini, misi kami untuk mengajak warga kota meneroka setiap inci Kuala Lumpur. Kami juga mahu mereka mengambil inspirasi daripada program yang dijalankan.

“Bersama rakan penganjur lain, kami menukar bandar raya ini menjadi taman permainan kreatif sebagai pembaharuan berbanding Urbanscape sebelum ini. Dengan penyertaan individu dari seluruh dunia, program kali ini lebih pelbagai.

“Semestinya ada banyak perkara yang pengunjung boleh dekati dan pelajari menerusi pengalaman itu,” katanya.

Festival yang setiap tahun mendapat sambutan luar biasa ini mempunyai lebih 80 program kali ini.

Dianjurkan bersama syarikat telekomunikasi gergasi U Mobile, programnya bukan tertumpu di satu lokasi saja.

Selain Medan Pasar, REXKL dan Sentul Depot, lokasi seperti River Of Life, The Godown KL, Kwai Chai Hong, Lorong Bandar 13 serta Lorong Panggung turut dijadikan medan untuk berbagai program.

Semua lokasi terbabit dipilih berdasarkan keunikan dan aksesnya yang mudah dikunjungi. Tidak ketinggalan, lokasi itu juga kini semakin menjadi tumpuan dan cukup sempurna buat Urbanscapes.

Antara program istimewa semestinya URBN:SENI yang menggabungkan seni budaya antara Malaysia dan Singapura.

Diadakan di The GodownKL acara seperti pameran seni, teater, muzik dan filem antara tumpuan menarik.

Sebagai naik taraf untuk Urbanscapes tahun ini, program HuRu-HaRa oleh TerryandTheCuz menggabungkan pelbagai bentuk seni. Daripada muzik, tarian, pemasangan, projek visual dan bunyi, keindahan seni dapat dialami dalam situasi huru-hara.

Tidak ketinggalan, puluhan artis juga tampil memeriahkan pentas Urbanscapes dengan persembahan muzik sepanjang tempoh itu antaranya penyanyi antarabangsa Boy Pablo, Glass Animals, The Drums, Cuco, SALES, Sunset Rollercoaster dan Colde.

Turut membuat persembahan termasuk SonaOne, ALIF, Fariz Jabba, Yung Raja, Charlie Lim, .gif, Sobs, Iqbal M, Lost Spaces, NYK, Hullera, LOCA B, Shelhiel, GARD WUZGUT, Heidi, Youth Portal, Playburst, Bandtai, Shuuna dan The Fatalis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:15 AM