Oleh Georgie Joseph


Menghimpunkan filem terbaik sekitar sekitar Eropah, Golden Screen Cinemas (GSC) Malaysia kembali lagi dengan Festival Kesatuan Filem Eropah (EUFF) 2014 yang bakal berlangsung mulai hari ini hingga 17 Disember depan di pawagam GSC terpilih.

Pawagam GSC yang terbabit untuk sesi tayangan berkenaan ialah GSC Midvalley, GSC 1 Utama dan GSC Pavilion di Kuala Lumpur mulai hari ini hingga 7 November), GSC Plaza Gurney, Pulau Pinang (13-19 November), GSC CityOne Megamall, Kuching (27 November-3 Disember), dan GSC Suria Sabah, Kota Kinabalu (11-17 Disember).

Bagi edisi tahun ini, 21 filem dipertontonkan. Selain karya dari negara popular seperti Perancis, United Kingdom dan Jerman, ia turut membabitkan filem dari Austria, Belgium, Republik Czech, Denmark, Finland, Itali, Luxembourg, Belanda, Norway, Poland, Turki dan beberapa negara lagi.

Bagi peminat filem Eropah di sini, pastinya ini peluang dinanti-nantikan apalagi karya dipertontonkan kelak kebanyakannya tidak ditayangkan secara global. Hanya pada acara seperti EUFF saja himpunan filem itu boleh diikuti menerusi tayangan eksklusif bermusim.

Benua Eropah sememangnya sentiasa tampil dengan karya yang menjadi material untuk memenangi anugerah. Hala tuju yang mereka tampilkan dalam jalan cerita sentiasa unik serta mampu membuka mata pengikut filem global.

Antara yang menarik perhatian adalah karya dari Itali berjudul The Best Offer lantaran pencapaiannya dalam pelbagai anugerah.

Bukan itu saja, filem berkenaan turut dibinta-ngi nama besar termasuk Geoffrey Rush, Jim Sturgess, Sylvia Hoeks, dan Donald Sutherland.

Ia mengisahkan Virgil Oldman yang suka menyendiri dan tidak mahu bergaul dengan orang lain terutama wanita. Dia bagaimanapun mudah mesra sekiranya berjumpa individu yang punya minat sama dengannya iaitu menggumpul barangan antik.

Pada usia 63 tahun, dia tiba-tiba mendapat panggilan misteri daripada seorang wanita yang memintanya mengendalikan hasil seni keluarganya untuk tujuan pembahagian kepada pembeli.

Bagaimanapun, seakan dirinya dipermainkan, pada temu janji pertama wanita itu tidak muncul pun di tempat dijanjikan. Wanita berkenaan hanya berkomunikasi dengannya menerusi panggilan telefon dan kerap memberikan alasan setiap kali diminta berjumpa.

Mulanya, Virgil hampir tidak mahu menunaikan permintaan wanita itu sehinggalah dia sendiri mengalami satu kejadian yang benar-benar mengubah hidupnya apabila tiba-tiba dirasuk satu perasaan yang akhirnya memberi kesan kepada kehidupannya.

Menerapkan elemen realiti dan cukup mendalam jalan ceritanya, filem ini menang besar di Anugerah David di Donatello ke-58 membolot trofi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Set Terbaik, Kostum Terbaik, Skor Muzik Terbaik dan Young's David.

Pada Anugerah Silver Ribbon ke-67 pula ia memenangi kategori Pengarah Terbaik, Produser Terbaik, Sinografi Terbaik, Kostum Terbaik, Penyunting Terbaik, dan Skor Muzik Terbaik.

Selain The Best Offer, antara filem lain ditayangkan ialah Your Beauty is Worth Nothing, The Broken Circle Breakdown, Tenderness, Divided We Fall, The Hunt, A Royal Affair, Niko 2: Little Brother, Big Trouble, Jappeloup, Stations of the Cross, In Between Worlds, The Symmetry of the Butterfly, Mr Twister, The Kautokeino Rebellio dan banyak lagi.

Sehubungan itu, bersempena EUFF 2014 juga RAP dengan kerjasama GSC memberi peluang kepada pembaca untuk bersama menikmati karya ini dengan memberi 100 pas percuma.

Caranya ialah dengan membawa keratan artikel ini ke kaunter kutipan e-Payment, GSC Mid Valley, Kuala Lumpur mulai jam 11 pagi esok.

Hanya artikel asal saja (fotostat tidak dibenarkan) yang akan diterima dan setiap keratan artikel ini pembaca layak memperoleh empat pas percuma. Penebusan juga berdasarkan siapa cepat dia dapat!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:00 AM