JOHN Boyega.
JOHN Boyega.
Amirul Haswendy Ashari

Untuk sekian lama, peminat filem sains fiksyen Pacific Rim berteka-teki mungkinkah ada rendisi terbaru karya itu atau sebaliknya.

Apatah lagi, filem sentuhan Guillermo del Toro itu mendapat reaksi positif pengkritik dan penonton meskipun tidak mencatat kutipan pecah panggung.

Penantian panjang berakhir apabila tampil sekuel dengan pendekatan lebih unik dan barisan pelakon baru termasuk John Boyega.

Penampilannya dalam filem ini selepas meletup sebagai Finn dalam Star Wars: The Force Awakens, boleh dianggap satu langkah serius.

Untuk sekuel Pacific Rim Uprising, dia turut bertindak sebagai produser bersama.

Ditanya apakah perkara yang membuatkan dia teruja membintangi sekuel ini, Boyega memetik nama Idris Elba.

“Pastinya sebab Idris Elba. Dia yang buatkan saya tertarik untuk menonton Pacific Rim suatu ketika dulu. Saya kagum apabila dia tampil dengan sut serba hitam apabila diperkenalkan sebagai bintang filem itu.

“Dia semakin popular selepas membitangi filem The Wire. Dia tampak ‘cool’ apabila menjayakan filem sains fiksyen,” katanya.

Boyega sukakan pengalaman filem pertama yang dianggap berbeza dan mengagumi visi sutradara membuatkan peminat tidak sabar menantikan sekuelnya.

“Saya tidak pasti bilakah Guillermo kembali duduk di kerusi pengarah. Ia mungkin akan ambil masa lebih lama dan saya tekad mahu turut serta dalam projek sekuel sekiranya ada,” katanya.

Boyega turut mendedahkan bukan mudah bergelar produser kerana tanggungjawab yang digalas sangat besar.

Dia berdepan dengan pelbagai dugaan demi memastikan projek ini berjaya dan dekat di hati penonton.

Lebih membanggakan apabila pengarah filem ini mengungguli trofi Pengarah Terbaik di acara berprestij Oscar menerusi filem The Shape of Water yang turut dinobatkan sebagai Filem Terbaik.

Lebih menarik kata Boyega, filem The Shape of Water dan Pacific Rim Uprising diarah pada masa sama oleh pengarah itu yang terpaksa berulang- alik dari satu set ke set lain.

Pencapaian itu, sedikit sebanyak membantu menguatkan kejayaan filem ini.

Memegang watak utama sebagai Jake Pentecost, Boyega agak terkilan kerana tidak dapat beraksi dengan bintang kesukaannya, Idris Elba.

“Apapun, saya tetap gembar melalui setiap pengalaman dalam filem ini.

“Saya mahu watak Jake Pentecost nampak muda dan masa sama seperti ‘bom jangka’ yang perlukan pedoman,” katanya gembira.

Filem ini mula ditayangkan di Malaysia sejak 22 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 4:21 AM