Najiy Jefri

(Yang menemu bual Kate Winslet di sidang media virtual filem Avatar : The Way of Water, baru-baru ini)

PEMBABITAN pelakon handalan, Kate Winslet dalam sekuel Avatar berjudul Avatar: The Way of Water antara yang ditunggu-tunggu penonton di seluruh dunia.

Lebih menarik, Winslet yang melakonkan watak Ronal mencatat rekod apabila berjaya menyelam selama tujuh minit dalam air tanpa menggunakan tangki oksigen berbanding pelakon lain.

Kejayaan itu, sekali gus memecahkan rekod yang pernah dipegang Tom Cruise iaitu selama lima minit ketika penggambaran filem Mission Impossible 5: Rogue Nation.

"Saya dituntut untuk belajar cara menyelam bebas dalam menyempurnakan peranan saya dalam Avatar. Peliknya saya boleh bergantung dengan kemampuan diri untuk menahan nafas selama itu serta tidak takut ketika itu.

"Saya ada memiliki video ketika saya muncul di permukaan lalu saya bertanya adakah saya sudah mati? Kemudian saya bertanya berapa durasi saya menyelam dan saya langsung tak percaya dengan catatan masa itu," katanya.

Berpeluang bekerjasama dengan pengarah, James Cameron, Winslet ditanya mengenai pengalaman dan perbezaan ketika membintangi filem Titanic dan Avatar: The Way of Water yang diarahkan Cameron.

Winslet berkata, menjayakan watak dalam Avatar: The Way of Water lebih mencabar berbanding Titanic selain memberi cabaran baharu kepadanya.

SULLY lakonan Worthington membuatkan penonton tidak senang duduk untuk melihat aksi pertarungan di lautan dan hutan.
SULLY lakonan Worthington membuatkan penonton tidak senang duduk untuk melihat aksi pertarungan di lautan dan hutan.

"Dalam Titanic, hanya sedikit adegan menyelam yang terdapat ketika babak akhir dan lebih tepat lagi ketika kapalnya tenggelam hingga Jack dan Rose juga tenggelam.

"Dalam filem Titanic saya juga tidak perlu menahan nafas, tapi untuk filem ini saya perlu berada dalam air yang dalam," katanya.

Avatar: The Way of Water adalah sekuel dari Avatar yang ditayangkan pada 2009. Sekuel ini kembali diarahkan oleh Cameron yang turut berperanan sebagai penerbit bersama Jon Landau.

Tidak hanya itu, Cameron turut membantu dalam penulisan skrip bersama Josh Friedman, Rick Jaffa, Amanda Silver dan Shane Salerno.

Selain Winslet, filem ini turut dibintangi pelakon asalnya seperti Sam Worthington, Zoe Saldana dan Stephen Lang yang memegang watak sebagai Jake Sully, Neytiri dan Kolonel Miles Quaritch.

Selain itu, ia turut dijayakan bintang popular lain seperti Sigourney Weaver, Vin Diesel dan Michelle Yeoh.

WINSLET memegang karakter Ronal dalam Avatar: The Way of Water.
WINSLET memegang karakter Ronal dalam Avatar: The Way of Water.

Avatar:The Way of Water mula menemui penonton sejak 14 Disember lalu.

Sekuel selami kehidupan Jake Sully Avatar: The Way of Water adalah jawapan terbaik untuk merangkumkan penantian 13 tahun peminat untuk menyaksikan filem sekuel Avatar ini di pawagam.

Keindahan Pandora sebagai latar utama filem ini masih menjadi daya penarik filem arahan James Cameron ini.

Ternyata filem berdurasi 192 minit itu akan membuatkan jutaan manusia yang menonton di pawagam terpukau dengan sinematografi serta keindahan yang ditampilkan dalam filem itu.

Avatar: The Way of Water membawa penonton untuk menyelami kehidupan Jake Sully lakonan Sam Worthington yang bertukar sebagai seorang puak Na'vi bersama isterinya, Neytiri (Zoe Saldana) dalam menyelamatkan anak-anak daripada ancaman manusia yang kembali mendiami Pandora dan membalas dendam terhadap pembelotan Sully.

Disebabkan itu, Sully dan Neytiri bersama tiga anak mereka, Neteyam (Jamie Flatters), Lo'ak (Britain Dalton) dan Tuk (Trinity Jo-Li Bliss) serta anak angkat, Kiri (Sigourney Weaver) terpaksa berpindah ke perkampungan puak Metkayina di laut demi keselamatan.

Bagaimanapun, tentera manusia diketuai Kolonel Miles Quaritch (Stephen Lang) tidak berputus asa menjejaki Sully walaupun kini tinggal bersama puak Metkayina yang diketuai Ronal (Kate Winslet) dan Tonowari (Cliff Curtis).

WINSLET cipta rekod tersendiri.
WINSLET cipta rekod tersendiri.

Dalam penempatan baharu keluarga Sully, penonton berpeluang melihat keindahan di dasar laut yang cukup mendamaikan dan hebat.

Adegan demi adegan bakal disajikan kepada penonton, sekali gus akan membawa kita ke satu dunia baharu serta sejuta kekayaan yang akan membuatkan anda mahu meneroka ke alam itu.

Selain itu, menyelami dunia Metkayina yang menjadi tempat tinggal keluarga Jake Sully dan Neytiri turut mendorong penonton untuk tahu lebih banyak mengenai Na'vi dan Pandora.

Filem ini turut mengangkat tema kekeluargaan yang sesuai ditonton seisi keluarga selain bakak pertarungan yang dihasilkan cukup hebat di kawasan laut dan hutan.

Justeru, filem yang dihasilkan dengan penuh teliti dalam aspek teknik dan visual ini membuktikan pawagam masih menjadi medium terbaik untuk dinikmati khalayak di sebalik perkembangan positif dunia penstriman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 6:00 AM