PELAKON (dari kiri) Sam Rockwell, McDormand, Allison Janney dan Oldman.
PELAKON (dari kiri) Sam Rockwell, McDormand, Allison Janney dan Oldman.
DEL Toro bersama barisan pelakon Shape Of Water ketika menerima anugerah Filem Terbaik.
DEL Toro bersama barisan pelakon Shape Of Water ketika menerima anugerah Filem Terbaik.
Michelle Gun

Kisah percintaan antara pekerja pembersihan bisu dengan makhluk air dalam The Shape of Water dinobatkan sebagai Filem Terbaik Anugerah Academy ke-90, semalam.

Kemenangan itu sudah dijangka dan filem terbitan Fox Searchlight Pictures terbabit turut melayakkan Guillermo del Toro dijulang sebagai Pengarah Terbaik.

Ini kali keempat pengarah berasal dari Mexico itu memenangi trofi Anugerah Academy dalam tempoh lima tahun.

Sebelum ini, del Toro berdepan saman kerana didakwa memplagiat karya Paul Zindel, Let Me Hear You Whisper yang turut mengisahkan persahabatan pekerja pembersihan dengan seekor ikan lumba luar biasa yang menjadi kajian saintis.

Bagaimanapun, del Toro menafikan pernah mendengar mahupun menyaksikan filem terbabit.

The Shape of Water yang menerima 13 pencalonan turut membawa pulang dua lagi anugerah iaitu Rekaan Produksi Terbaik dan Skor Asal Terbaik.

Persembahan Frances McDormand sebagai ibu yang memperjuangkan kes pembunuhan anak perempuannya dalam Three Billboards Outside Ebbing, Missouri mengangkat pelakon itu sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Ini Anugerah Academy kedua bintang Hollywood berusia 60 tahun itu selepas trofi pertama pada 1997 menerusi lakonan mantapnya dalam Fargo.

“Pernafasan saya sedikit laju. Kalau saya pengsan, tolong angkat saya kerana ada beberapa perkara ingin diluahkan.

“Saya rasa Chloe Kim turut melalui situasi sama ketika perlawanan Olympic,” katanya ketika menerima trofinya di pentas.

McDormand turut menyampaikan penghargaannya kepada pengarah Three Billboards Outside Ebbing, Martin McDonagh dan Coen bersaudara yang mengarah filem Fargo.

“Saya tahu awak bangga dengan pencapaian saya,” katanya.

Filem Three Billboards Outside Ebbing memaparkan McDormand sebagai Mildred Hayes yang berang dengan kegagalan polis menjejaki pembunuh anaknya.

Dia kemudian bertindak sendiri dengan mempersoalkan siasatan itu menerusi tiga papan iklan gergasi berhampiran kediamannya.

Sementara itu, gelaran Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi Gary Oldman, 59, menerusi lakonannya dalam filem Darkest Hour yang berlatarkan Perang Dunia Kedua.

Sewaktu memberi ucapannya, Oldman mengucapkan terima kasih kepada ibunya yang kini berusia 99 tahun.

Pelakon British itu turut menggambarkan ibunya lebih tua daripada Anugerah Academy yang tahun ini memasuki penganjuran ke-90.

“Ibu sedang menyaksikan majlis ini dengan selesa atas sofa di rumah.

“Saya ingin memberitahu ibu, terima kasih atas kasih sayang dan sokongan diberikan.

“Minta panaskan air kerana saya membawa pulang trofi Oscar,” katanya.

Trofi itu adalah Anugerah Academy pertama Oldman sepanjang 39 tahun pembabitannya dalam bidang seni.

Pembaca yang belum menyaksikan Anugerah Academy ke-90 boleh boleh menonton siaran ulangan di HBO pada jam 9 malam esok.

HBO juga akan mengulangi semula anugerah itu pada 11 Mac, jam 4.20 petang dan 16 Mac, jam 4 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 7:03 AM