Syafil Syazwan Jefri


Video reaksi penonton ketika menyaksikan filem seram dari Indonesia, Pengabdi Setan kini tular di media sosial.

Tentunya, naskhah arahan Joko Anwar yang dibuat semula berdasarkan filem asal yang diterbitkan pada 1980 itu benar-benar memberi impak. Banyak lagi filem seram Indonesia yang menjadi sebutan sejak dahulu seperti Sundel Bolong, Kuntilanak, Jaelangkung, Beranak Dalam Kubur dan Pocong.

Karyawan filem di seluruh dunia cukup berminat mengangkat cerita seram di layar perak hingga setiap negara mempunyai karya seram yang hebat.

Di Malaysia, filem Munafik mencipta fenomena sehingga menjadi sebutan selain filem seram lain, Chermin, Pontianak Harum Sundal Malam, Jangan Pandang Belakang dan Villa Nabila.

Berikut adalah 10 filem seram popular dari serata dunia yang menjadi fenomena dan tular sehingga hari ini.

1. Munafik

Filem lakonan dan arahan Syamsul Yusof berganding dengan pelakon hebat antaranya Nabila Huda dan Sabrina Ali, punya impak tersendiri.

Walaupun tunjang utamanya mengenai agama, setiap babak boleh dikategorikan sebagai filem seram yang berjaya.

Rata-rata memberi reaksi positif, sekali gus meletakkan Munafik sebagai penanda aras untuk filem seram tempatan.

Mencatat kutipan lebih RM17 juta, filem ini turut menarik minat orang seberang untuk ditayangkan di sana dan sekuelnya kini menanti tayangan.

2. Pengabdi Setan

Dihasilkan semula daripada filem asal, ramai penonton filem lakonan Tara Bastro dan Endy Arfian ini memberikan reaksi positif dan menganggap ia filem seram terbaik Indonesia untuk tahun ini.

Lebih menarik, Pengabdi Setan turut menampilkan lakonan hebat pelakon versatil Malaysia, Bront Palarae.

Video reaksi penonton yang dikongsi di YouTube rasmi produksi Rapi Films juga kini ditonton lebih 400,000 penonton dan semakin meningkat.

3. Chandramukhi

Tidak semua filem seram menfokuskan kepada ketakutan dan kejutan semata-mata, tetapi ada juga yang menyelitkan elemen komedi.

Filem Tamil popular, Chandramukhi adalah antara filem komedi seram yang mencuri tumpuan ketika ditayangkan pada 2005.

Kesannya, Chandramukhi masih menjadi fenomena dan disebut sehingga hari ini.

Menampilkan pelakon hebat antaranya Rajinikanth, Prabhu dan Jyothika sebagai Chandramukhi, filem ini menempa kejayaan besar, sekali gus mendapat kritikan positif daripada pengkritik filem dunia.

4. It

Filem It antara filem Amerika terbaru yang menghantui pawagam seluruh dunia. Menampilkan lakonan hebat Jaeden Lieberher dan Bill Skarsgard, It juga filem yang dihasilkan semula berdasarkan novel yang dikeluarkan pada 1986.

It juga pernah diadaptasi dalam bentuk siri mini pada 1990, sekali gus membuatkan ramai yang takut dengan kehadiran badut yang dianggap seram.

5. Ju-on

Siapa yang tidak tahu mengenai filem Ju-on yang mencipta fenomena apabila hantu yang ditampilkan berupa hantu kanak-kanak yang sangat seram.

Tidak hanya berjaya mencipta fenomena menerusi satu filem, filem Jepun itu hadir dalam bentuk francais apabila diterbitkan sebanyak 12 filem.

Elemen kejutan diterapkan dalam filem ini, sekali gus membuatkan penonton tidak senang duduk di kerusi pawagam.

6. The Ring

Filem Amerika yang ditayangkan pada 2002 ini adalah filem adaptasi daripada filem asal yang karya asalnya dari Jepun berjudul Ringu.

Kebanyakan pengkritik filem seluruh dunia memberikan kritikan positif mengenai visual yang dipaparkan dalam filem itu walaupun ada yang menganggap visualnya ‘mengganggu’ kerana terlalu seram.

The Ring menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Naomi Watts, Martin Henderson dan Brian Cox.

7. Nang Nak

Sebut sahaja judul filem seram dari Thailand ini, tentunya ramai yang akan terus mengingat babak seram hantu wanita yang mendukung bayinya.

Dikatakan diangkat daripada kisah legenda Thailand, Nang Nak juga mencipta fenomena terutama di negara Asia.

Seperti biasa, filem seram dari Thailand tidak pernah mengecewakan dengan pelbagai kejutan yang tidak dijangka.

8. Pontianak Harum Sundal Malam

Diterbit, diarah dan ditulis oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba, Pontianak Harum Sundal Malam juga mencipta fenomena dalam filem seram tempatan.

Menampilkan lakonan hebat Maya Karin, Rusdi Ramli dan Rosyam Nor, Pontianak Harum Sundal Malam tidak hanya memaparkan wajah seram Maya sebagai puntianak, tetapi juga menerapkan budaya dalam karya ini. Filem ini juga membawa kejayaan besar buat Maya apabila menang Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Seram dan Fantasi Antarabangsa Estepona di Malaga, Sepanyol dan Aktres Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik di Fukuoka, Jepun.

Kerana sambutan menggalakkan terhadap filem ini, Shuhaimi terus menyajikan filem kedua, Pontianak Harum Sundal Malam 2 kepada penonton.

9. Suster Ngesot

Sehingga hari ini, filem seram Suster Ngesot dari Indonesia ini masih ada impaknya. Penonton tentu masih ingat babak hantu jururawat bernama Lastri yang mengesot di lantai mengejar mangsanya.

Sepanjang durasi 87 minit, filem lakonan Nia Ramadhani, Mike Lewis dan Donita itu membuatkan penonton tidak tenang dengan pelbagai babak menakutkan.

10. The Exorcism of Emily Rose

Pernah disenaraikan sebagai salah satu daripada 100 Filem Paling Seram Pernah Dihasilkan Di Dunia oleh Persatuan Pengkritik Filem Chicago, The Exorcism of Emily Rose punya fenomena besar.

Berdasarkan kisah benar, filem ini diadaptasi daripada kejadian sebenar yang berlaku kepada gadis bernama Anneliese Michel.

Sehingga hari ini, The Exorcism of Emily Rose masih dianggap sebagai filem seram terbaik pernah dihasilkan walaupun selepas 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 3:34 AM