Amirul Haswendy Ashari

Filem ‘remake’ mengguna judul sama dari Indonesia ini pernah mendapat reaksi hebat ketika ia diterbitkan pada 1980.

Jadi, apabila munculnya rendisi baru ini, perkara pertama bermain di minda adalah, adakah ia lebih baik dari segi jalan cerita atau sekadar sebuah lagi pembikinan semula dengan perincian teknologi perfileman baru?

Ternyata soalan berkaitan hilang begitu saja saat menontonnya. Pengarahnya berjaya menjadikan filem ini sebagai filem seram terhebat pernah dihasilkan dalam sejarah pembikinan filem seram Indonesia dekad ini.

Filem ini mempunyai sinematografi yang hebat, jalan cerita yang lebih mantap, plot ‘twist’ yang menarik dan paling penting, mengembalikan emosi takut peminat yang pernah menonton filem itu tiga dekad lalu.

Bukan itu saja, solekan khas, permainan lakonan dan runut bunyi filem ini turut berada di tahap tersendiri.

Joko tidak saja bergantung pada kejutan melalui teknik ‘jump scare’, malah mengadun elemen seram dengan baik.

Bercakap di sisi lakonan, watak Ian (lakonan M Adiyat) dan Bondy (Nasar Annuz) menarik untuk ditonton. Dialog mereka berjaya mengundang simpati penonton.

Tidak ketinggalan watak Rini (Tara Basro) yang berjaya mengemudi tanggungjawab untuk menjaga keluarganya daripada diganggu roh ibunya.

Babak paling memberi kesan ialah cara Joko menakutkan penonton menggunakan hantu ibu memberitahu sesuatu kepada Toni di dalam bilik tidur.

Pengabdi Setan mengenai sebuah keluarga yang bersatu dan bertegas memberitahu roh ibu mereka supaya tidak mengambil nyawa adik-beradik mereka.

Jika anda mahukan cerita seram yang mampu membuatkan anda tidur tidak lena, rasanya filem ini adalah terbaik setakat ini.

• FILEM: Pengabdi Setan

• ARAHAN: Joko Anwar

• PELAKON: Tara Basro, Bront Palarae, Dimas Aditya, Endy Arfian, Nasar Annuz, M Adiyat

• GENRE: Seram

• TAYANGAN: 23 November 2017

• ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 4:07 AM