Khusairi (tengah) bersama Fauzi (kanan) dan Zulkifli Abdul Wahab (kiri). FOTO SALHANI IBRAHIM
Khusairi (tengah) bersama Fauzi (kanan) dan Zulkifli Abdul Wahab (kiri). FOTO SALHANI IBRAHIM
Nor Akmar Samudin


ENGGAN kontroversi tahun lalu berulang, lima pencalonan akhir bagi semua kategori yang dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) hanya akan diumumkan pada malam anugerah itu yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 23 September ini.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, keputusan itu adalah cara paling sesuai bagi mengurangkan masalah yang bakal terjadi dan juga strategi supaya semua penggiat filem tanah air hadir beramai-ramai memeriahkan FFM 29.

“Finas cuba mengelak kontroversi dan polemik yang akan membabitkan perpaduan negara dengan pelbagai isu berbangkit,” katanya dalam sidang media pertama FFM29 di Finas, Hulu Klang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29.

Kontroversi FFM28 tercetus apabila Finas dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) selaku penganjur memperkenalkan pengasingan karya Filem Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia yang dibantah ramai.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal Finas, Mohd Zulkifli Abdul Wahab merangkap Pengarah FFM29 berkata, Finas sudah menerima penyertaan 42 filem dengan 30 filem berbahasa Melayu, tujuh filem bahasa Mandarin dan lima filem bahasa Tamil.

“Finas membuka peluang kepada semua penerbit untuk menghantar penyertaan mereka sehingga 3 September ini.

“Kami menjangkakan lebih ramai penerbit akan mencalonkan filem mereka walaupun belum ditayangkan tahun ini asalkan mereka sudah dapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum 31 Julai lalu,” katanya.

Menurutnya, antara filem yang sudah disenaraikan dalam pencalonan ialah Hanyut, Pekak, Interchange, Redha, Rock Bro, Kau Yang Satu, Lebuhraya Ke Neraka, Adiwiraku dan You Mean The World To Me.

“Penjurian akan diadakan secara dua peringkat. Penjurian awal dari 4 hingga 11 September dan penjurian akhir pada 12 hingga 19 September,” katanya.

Pada penganjuran kali ini, Finas akan membawa kelainan dengan memberi fokus kepada program pembangunan untuk modal insan berkaitan industri filem.

“FFM29 bukan hanya untuk berseronok tetapi perlu juga diserapkan keilmuan yang boleh ditingkatkan seperti kreativiti dan idea,” katanya.

Justeru, Finas akan membawa pakar-pakar filem dari Amerika Syarikat dan India menerusi kelas istimewa sinematografi pada 18 hingga 22 September depan di Studio Sound Stage di Finas, Hulu Klang.

FFM29 yang bertemakan Transformasi Citra Karya dianjurkan Finas dengan kerjasama pelbagai persatuan termasuk Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 10:32 PM