PENGACARA FFM29, Zizan (kiri), Elizabeth Tan, Siti Elizad dan Thanuja.
PENGACARA FFM29, Zizan (kiri), Elizabeth Tan, Siti Elizad dan Thanuja.
Adam Salleh

Ikut plan asal, Perdana Menteri akan hadir di malam anugerah FFM29 (Festival Filem Malaysia Ke-29). Ketika jadi panel Imbas Kembali Tan Sri Jins Shamsuddin pada 14 September lalu, sudah pun dengar Datuk Seri Najib Razak bakal memeriahkan FFM dan bagi penggiat filem ia satu penghormatan kerana payah pemimpin nombor satu negara hadir di majlis begitu.

Kita hanya merancang keputusan ketentuan-Nya, begitulah dek banyak sangat urusan rasmi apa yang dinanti-nantikan tidak menjadi. Dan siapa tahu, untuk FFM30 (2018), Perdana Menteri boleh hadir kerana tiga dekad usia FFM, seharusnya FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) selaku penganjur utama wajar menjayakannya dengan lebih gemilang.

FFM29 kali ini berjalan lancar berbanding FFM28 yang timbul kontroversi berikutan pencalonan filem Ola Bola hinggakan FINAS dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) ditempelak rasis. Pengarah filem Afdlin Shauki bertindak boikot FFM28 lalu campur tangan menteri terpaksa diwujudkan kategori Filem Nasional Terbaik (FNT) dan Filem Terbaik Malaysia (FTM).

Filem Munafik arahan Syamsul Yusof muncul FNT, sementara filem Jagat arahan Shanjhey Kumar Perumal pula FTM. Dua kategori hampir sama, sebutan saja berbeza tetapi untuk FFM29 pada Sabtu lalu FNT dan FTM dimansuhkan dan yang ada hanyalah Filem Terbaik dimenangi filem Adiwira arahan Eric Ong mengalahkan Redha, Interchange, Desolasi dan Hanyut.

Kalaupun ada tidak puas hati FFM29 hanyalah pada abang Zizan kita selaku pengacara. Majlis sedang ‘live’ penulis tidak sunyi menerima WhatsApp kiriman rakan juga pegawai kerajaan yang menyifatkan ‘percakapan’ Zizan Razak itu sangat merendahkan imej menteri dan pegawai kerajaan seolah-olah orang kerajaan mudah dipengaruhi untuk artis mahukan sesuatu.

“Artis Malaysia terutama generasi baru perlu lebih berilmu bila bercakap depan TV terutama dalam acara penting. Jangan ingat bila sudah popular cakap apa saja penonton akan suka. Contohilah artis di Indonesia termasuk pengacara TV di sana sangat bersopan dan tak nak buat lawak bodoh dan mereka jauh berilmu dan pandai jaga imej,” pesan rakan penulis itu.

Apa dikata rakan penulis itu ada lojiknya. Secara kebetulan FFM28 lalu penulis bawa hampir sepuluh artis Indonesia untuk mereka merasai sendiri kehangatan malam kemuncak FFM. Antara yang penulis jemput Dimas Seto, Meriza Febrini, Elyzia Mulachela, Mathias Muchus, Ibnu Jamil, Henidar Amroe dan Tarmizi Abka selaku sutradara filem Kalam-Kalam Langit.

Ikutkan mereka sibuk dengan promosi di radio dan TV filem itu, menginap pula di hotel di Shah Alam namun jam 7 malam penulis mahukan semua berada di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), mereka akur. Ketika di antara mereka mahu menjamu selera, penulis terima lampu hijau dari pegawai FINAS, Ahmad Syazli agar masuk ke dalam dewan, pun mereka akur.

Perihal Zizan, di kala ramai lagi umat Islam di Tanah Suci Makkah menunggu penerbangan balik selepas menunaikan fardu haji, lawaknya menyebut ‘pergi Makkah pun tidak jadi apa’ tidak wajar diluahkan depan khalayak. Kita faham Zizan sedang meraba-raba mencari jodoh, tetapi usahlah laju lidah daripada akal hinggakan soal agama pun mahu dijadikan lawak.

Mujur tiada pihak berkaitan agama atau ustaz glamor tampil membidas kenyataan Zizan, melainkan Datuk Eizlan Yusof dan Datuk Hans Issac yang tidak puas hati perihal isu ‘Datuk beli.’ Bagaimanapun masing-masing sudah bermaafan dan untuk FINAS selepas Nabil mengacara FFM28 kini Zizan (FFM29) apakah FFM30 kelak hanya pelawak yang layak jadi host?

Trofi lain dimenangi Adiwira di FFM29 (Cerita Asal Terbaik/Jason Chong dan Pelakon Wanita Terbaik/Sangeeta Krishnasamy). Tuah filem ‘top 5’ tidak pulang kosong apabila Interchange menang Pengarah Terbaik milik Daid Iskandar Said (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik/Shaheizy Sam, Sinematografi Terbaik/Jordan Chiam, Penataan Seni Terbaik, Zaharah Nakibullah); Redha (Pengarah Harapan/Tunku Mona Riza, Pelakon Lelaki Terbaik/Nam Ron, Pelakon Wanita Harapan/June Lojong, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik/Harith Haziq), Hanyut (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik/Diana Danielle, Penataan Bunyi Terbaik/Daniel, Kostum Terbaik/Akma Suriaty Awang) manakala filem Desolasi arahan Syafiq Yusof raih Anugerah Khas Juri 1.

Bertemakan Transformasi Citra Karya, FFM29 tidak umumkan Top 5 amat baik bagi mengelak kontroversi dan ketidakhadiran penggiat filem dan ternyata Dewan Merdeka lokasi berlangsungnya FFM29 tiada ruang kosong. Tidak terkecuali beberapa tetamu dari Pejabat Perdana Menteri turut hadir, begitu juga kelibat Afdlin turut kelihatan.

Dalam banyak trofi dipertandingkan, penulis tertarik dengan kemenangan Sangeeta. Penulis hadir di FFM4 pada 1983 menyaksikan kemenangan Rubiah Suparman melalui filem Bila Hati Telah Retak, kemudian silih berganti aktres Melayu merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik tetapi untuk FFM kali ini, julung kali aktres India tempatan kita merangkulnya.

Memegang watak Chery Anne Fernando, Sangeeta berjaya menewaskan Izara Aishah (Kau Yang Satu), Sharifah Amani (Pekak), June Lojong (Redha) dan Yeoh Yann Yann (You Mean Everything To Me). Pencalonan Top 5 untuk aktres India tempatan ini bermula pada FFM23 (2010) apabila Jasmine Micheal bertanding melalui filem Estet tetapi tewas pada Lisa Surihani filem Lagenda Budak Setan. Pada FFM26 (2013) Kalpana Sundraja bertanding dalam filem Dhusrjsnam tetapi tewas pada Lisa Surihani melalui filem Istanbul Aku Datang.

Bekas Ratu Cantik berketurunan Sikh, Kavita Kaur tersenarai Top 3 FFM15 (2001) melalui Mimpi Moon tetapi tewas pada Erra Fazira filem Soal Hati. Selepas 24 jam merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM29 itu, tiada protes terhadap Sangeeta, masing-masing boleh dikatakan puas hati berbanding ketika Raja Nor Baizura meraih anugerah sama pada FFM8 (1988/1999) melalui filem Oh Fatimah kerana menewaskan aktres veteran Datuk Rosnani Jamil, Azean Irdawaty, Norlida Ahmad (Connie) dan Kartina Aziz.

Kontroversi dalam FFM itu biasa kerana bukan mudah untuk puaskan hati semua orang, namun yang luar biasa sekiranya FFM itu tidak dianjurkan. Karyawan dan penggiat filem harus memberi sokongan pada FFM kerana inilah malam pengiktirafan untuk menghargai kreativiti mereka agar perusahaan filem tempatan terus hidup dari generasi ke generasi.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 7:11 AM