Oleh Amirul Haswendy Ashari

Isu mengenai tarikh berlangsungnya Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) diselesaikan apabila diumumkan baru-baru ini bahawa ia akan diadakan pada 1 November depan.

Begitu juga barisan penaja, susunan aktiviti dan lokasi acara berprestij itu. Bagaimanapun, sehingga kini isu melanda Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkaitan penganjuran FFM26 belum terlerai.

Difahamkan, Gafim enggan bekerjasama dengan Finas untuk penganjuran FFM kali ini walaupun Finas menghantar jemputan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda.

Gafim dikatakan memboikot FFM26 kerana tidak berpuas hati dengan cara Finas menganjurkan FFM.

Dalam hal ini, Pengarah FFM26, Mohd Zulkifli Ab Wahab meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan Gafim.

Katanya, ada 15 persatuan berkaitan filem dan seni terbabit memberi kerjasama untuk persiapan FFM26 tetapi hanya beberapa kerat memberi kerjasama, sedangkan festival ini untuk meraikan penggiat filem.

"Saya kesal dengan sikap berdiam diri Gafim. Kami memanggil mereka pada beberapa mesyuarat lalu, termasuk pada acara hari ini (sidang media), tapi tidak ada maklum balas.

"Saya juga tidak pasti punca sebenar mereka enggan hadir ke setiap acara dan mesyuarat yang diadakan sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, Gafim mendakwa persatuan itu ditubuhkan dengan tujuan menganjurkan FFM tetapi apabila Finas mengambil alih penganjuran FFM kali ini, ia membuatkan Gafim seolah-olah hilang fungsi.

Gafim didakwa sebagai badan yang mempunyai hak rasmi menerusi Perbadanan Hak Cipta Malaysia (MyIPO) untuk jadi penganjur FFM kerana hak penganjurannya memang milik Gafim selama ini dan dipatenkan.

FFM pertama yang diadakan pada 11 hingga 13 April 1980, lahir dari cetusan idea Entertainment Journalist Association (EJA) dan sekali lagi menjadi penganjur FFM2 pada 1981 dengan peruntukan kerajaan. Bertitik tolak dari situ, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan Filem Nasional (JKFN) iaitu badan perfileman sementara yang kemudian ditukar kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Finas mengambil-alih penganjuran FFM3, kemudian Finas bersama Gafim menganjurkan FFM7 secara bersama.

Zulkifli yang juga Pengarah Pembangunan Industri Finas menafikan Finas tidak berhak menganjurkan FFM menyebabkan keadaan bertambah panas hingga penganjuran FFM26 tertangguh sejak awal tahun.

Tegasnya, Finas ada hak menganjurkan FFM kerana memang wujud dalam akta mengatakan begitu. Perkara itu juga dijelaskan sebelum ini dan sepatutnya tidak perlu dipertikaikan lagi.

"Oleh kerana Gafim tidak menunjukkan kesungguhan untuk bekerjasama dalam penganjuran ini, kami mendapat kerjasama daripada beberapa persatuan lain," katanya.

Tidak cukup dengan kemelut penganjurannya, timbul juga isu mengenai senarai akhir filem yang dipertandingkan, terutama kategori Filem Terbaik.

Lima filem yang dipilih iaitu Penanggal, KIL, Sembunyi: Amukan Azazil, Rock Oo! dan KL Gangster 2 disifatkan bukan antara yang terbaik, malah dikatakan tiada arah tuju dalam industri filem tempatan.

Penjurian juga dikatakan tidak telus kerana memilih filem genre ganas, seram dan sakit jiwa. Filem Penaggal arahan Ellie Suriaty juga mengungguli pencalonan dengan 15 kategori.

Zulkifli beranggapan ia sekadar pendapat peribadi dilontarkan pihak yang tidak berpuas hati dengan senarai filem dicalonkan.

"Setiap tahun pasti ada kontroversi sejak penganjuran pertama, tetap ada yang tidak berpuas hati. Dari segi penjurian, tiada siapa tahu. Malah, keputusan penuh masih disimpan di Jabatan Audit sebelum diserahkan sepenuhnya pada petang hari Perasmian FFM26 pada 29 Oktober ini," katanya.

Pelakon dan pengarah Ellie Suriaty Omar pula mengakui sedih dengan situasi yang melanda Gafim dan Finas. Katanya, FFM ibarat hari raya untuk semua pembikin filem yang selama ini bertungkus lumus menghasilkan karya filem tempatan.

"Saya sayangkan Gafim dan Finas kerana kedua-dua badan ini memainkan peranan penting dalam industri filem kita. Saya sedih kerana turut terbabit dalam dua badan ini sebab di bawah Gafim ada 11 persatuan, termasuk Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Persatuan Sutradama Malaysia (Fdam).

"Saya harap sangat mereka selesaikan isu ini demi masa depan kita sendiri, bukan orang lain. Kita semua bekerja keras bagai nak gila. Kita tak tahu bila lagi filem kita akan dicalon dalam FFM akan datang. Oleh itu, berilah peluang kepada kita yang mahu meraikan hari bersejarah untuk kita," katanya.

Kata Ellie, semua pihak, terutama Gafim, melihat perkara ini dari sudut pembikin filem dan meraikan acara kemuncak kebangsaan yang berprestij.

"Walaupun FFM26 beberapa kali tertangguh kerana insiden yang menimpa negara, sebagai pembikin filem kami mempunyai daya kreativiti sendiri untuk menyatakan rasa hormat dan pada masa sama meraikan dalam cara merendah diri.

"Apa yang berlaku pada kita dan negara ini ada hikmah tersembunyi yang tuhan cuba tunjukkan. Jadi, kita harus bermuhasabah dan pada masa sama kembalikan keyakinan rakyat dengan cara kita," katanya.

Mengenai pencalonan Penanggal untuk Filem Terbaik menimbulkan rasa tidak puas pihak tertentu kerana mengangkat filem seram hingga mengetepikan karya mempunyai nilai kenegaraan, tegas Ellie, Penanggal bukan filem seram atau hantu seperti diuar-uarkan, sebaliknya filem keagamaan tapi menggunakan pendekatan sedemikian.

"Sesiapa yang menonton Penanggal tahu ia filem keagamaan. Bukan saja penonton Islam, malah ada juga penonton dari agama lain seperti Buddha dan Hindu mengakui ia filem keagamaan yang bercerita dalam nada merendah diri.

"Elemen seram seperti sihir, kepala tercabut dan wajah hantu, itu hanya elemen komersial yang ditunjukkan untuk menarik perhatian penonton.

"Namun, kena juga lihat elemen lain yang saya tunjukkan seperti penyucian diri, ilmu sufi dan sifat rendah diri yang sangat dekat dengan Islam.

"Bagi saya, setiap filem yang dipilih untuk Filem Terbaik mempunyai kelebihan dan interpretasi sendiri hingga layak ke pentas akhir FFM26," katanya.

FFM26 akan diadakan di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan, manakala acara perasmian diadakan di Hotel Empire, Subang Jaya, Selangor pada 29 Oktober ini untuk penyampaian 11 kategori dipertandingkan.

Sebanyak 113 filem (termasuk filem cereka, pendek dan animasi) dipertandingkan tahun ini membabitkan 31 kategori. Stesen penyiar rasmi FFM26 ialah TV2, Astro Ria (104) dan Astro Maya HD (135).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:01 AM