SYED Saleh Rahman bergambar bersama wakil media ketika Majlis Pelepasan Petugas Haji di Hotel Movenpick, KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SYED Saleh Rahman bergambar bersama wakil media ketika Majlis Pelepasan Petugas Haji di Hotel Movenpick, KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad


Sepang: Tabung Haji (TH) sentiasa bersiap sedia berdepan sebarang bencana tidak diingini demi keselamatan jemaah haji Malaysia ketika musim haji tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, TH mempunyai program pengurusan bencana yang didokumenkan dan sentiasa dipraktikkan melalui simulasi.

Menurutnya, TH turut berbincang dengan semua pihak pemegang taruh sama ada di Malaysia, Arab Saudi termasuk Kedutaan Malaysia di Arab Saudi.

"Jemaah Malaysia pernah berdepan hujan lebat, kilat, petir dan banjir kilat pada 2004, 2008, 2016 dan 2018 yang berlaku di Makkah, Arafah dan Mina.

"Alhamdulillah semuanya dapat ditangani dengan baik," "katanya kepada pemberita ketika hadir menyantuni 150 petugas TH termasuk pengamal media yang digerakkan ke Arab Saudi bagi membuat persediaan awal di Hotel Movenpick di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan pemberita berhubung banjir kilat yang berlaku di bahagian utara Arab Saudi kelmarin.

Kejadian itu memaksa penutupan sekolah dan jalan manakala Pusat Meteorologi Kebangsaan Saudi (NCM) mengeluarkan amaran perjalanan.

Laporan Sky News dan media lain yang tular di laman media sosial menunjukkan banjir kilat yang bermula pada Isnin lalu melanda wilayah Al-Ula dan Madinah menyebabkan banyak kenderaan hampir tenggelam dan dihanyutkan arus deras.

Dalam pada itu Syed Saleh turut mengingatkan jemaah Malaysia supaya sentiasa menjaga diri memandangkan ketika ini, Arab Saudi dilanda cuaca panas antara 48 hingga 50 darjah celsius.

Katanya, jemaah dinasihatkan tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas, minum air secukupnya bagi mengelak diserang strok haba, serta terdedah dengan penyakit lain.

"TH juga ada menyediakan klinik dan hospital di maktab dan khemah penginapan dan bagi jemaah yang berdepan masalah kesihatan boleh berjumpa dengan doktor yang bertugas di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 3:53 PM