Kamil (tengah) bersama Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Yusof Haslam dan Timbalan Ketua Pengarah Finas Produksi dan Komunikasi Finas, Datuk Fauzi Ayob. FOTO NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Kamil (tengah) bersama Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Yusof Haslam dan Timbalan Ketua Pengarah Finas Produksi dan Komunikasi Finas, Datuk Fauzi Ayob. FOTO NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Kontroversi penganjuran Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) yang akan berlangsung bulan depan selesai selepas pertemuan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) serta wakil persatuan berkaitan industri perfileman dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, hari ini.

Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman berkata, dalam pertemuan itu pelbagai isu dibincangkan terutama membabitkan penyatuan penggiat seni kreatif dalam memartabatkan festival filem di negara ini.

"Perjumpaan tadi berjalan lancar dan semua wakil persatuan menyambut baik usaha kerajaan dalam menyatukan industri perfileman di Malaysia.

"Insya-Allah selepas ini tidak akan ada lagi pertelagahan di antara wakil persatuan apabila majoriti menyokong penganjuran FFM28 tahun ini," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman pengacara, penyampai trofi dan artis terbabit persembahan pada malam FFM28.

FFM28 akan berlangsung pada 1 hingga 3 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Selain Finas, pertemuan itu turut dihadiri wakil daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (Profima), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim).

Kamil berkata, FDAM yang sebelum ini enggan terbabit dengan FFM28 turut bersetuju dengan keputusan yang diambil.

Dalam pada itu, Finas juga akan mengumumkan kategori utama FFM28 esok.

Terdahulu, berikutan kontroversi pengumuman penganjur mengenai kategori yang mengasingkan filem Bahasa Malaysia dengan bukan Bahasa Malaysia, kerajaan membuat keputusan membuka kategori utama kepada semua penggiat filem selepas isu terbabit hangat diperdebatkan banyak pihak.

Keputusan itu menyaksikan tiga kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia dimansuhkan.

Sementara itu, malam kemuncak FFM28 pada 3 September ini bakal menyaksikan gandingan Nabil Ahmad dan Sherry Al Hadad sebagai pengacara.

Turut membuat persembahan ialah Dayang Nurfaizah, Bunkface, Man Bai, Jaclyn Victor, Tomok dan Lan Typewriter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 8:30 PM