Exco Pelancongan, Dato Salleh Saidin (satu kanan) bersama Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan, Dzowahir AB.Ghani (dua kiri) menunjukkan buah harum manis pada majlis perasmian Fiesta Mempelam Negeri Kedah Tahun 2024 di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan hari ini. FOTO WAN NABIL NASIR
Exco Pelancongan, Dato Salleh Saidin (satu kanan) bersama Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan, Dzowahir AB.Ghani (dua kiri) menunjukkan buah harum manis pada majlis perasmian Fiesta Mempelam Negeri Kedah Tahun 2024 di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan hari ini. FOTO WAN NABIL NASIR
Noorazura Abdul Rahman


Yan: Kedah berjaya mengeluarkan lebih 150 tan mangga harumanis D Aman untuk pasaran seluruh negara dengan jualan melebihi RM5 juta.

Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, pengeluaran itu membabitkan 125 pengusaha di Kedah dengan keluasan ladang kira-kira 100 hektar.

Menurutnya, jumlah itu adalah angka terbaik selepas Kedah mula mengkomersialkan jenama harumanis berkenaan pada 2022.

"Berdasarkan sasaran pada 2025, kita mampu mencapai hasil sebanyak 600 tan bagi menampung permintaan yang tinggi di seluruh negara.

"Harumanis ini sebenarnya berasal dari Kedah, kita ada sejak 1971 tapi harumanis dikomersialkan di Perlis.

"Rasa harumanis Kedah juga setanding dengan keluaran negeri lain, tambahan pula kita jenamakan harumanis ini dengan nama Harumanis D Aman, dua tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Fiesta Mempelam Kedah 2024 di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan, di sini, hari ini.

Dzowahir berkata, kerajaan negeri menggalakkan petani memanfaatkan permintaan tinggi terhadap mangga harumanis dengan menceburi tanaman berkenaan.

Katanya, Kedah memiliki kelebihan dalam keluaran mangga berikutan pusat teknologi berkenaan mempunyai 111 varieti mangga dari serata dunia dan sering dikunjungi oleh penyelidik dari seluruh negara.

Ketika ini, Harumanis D Aman dijual pada harga antara RM35 hingga RM40 untuk satu kilogram mengikut gred," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 3:46 PM