FAUZI (lima kiri) merasmikan pelancaran drama Moon Light Saigon di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
FAUZI (lima kiri) merasmikan pelancaran drama Moon Light Saigon di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Nor Akmar Samudin


PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan memberi kelainan kepada penganjuran Filem Festival Malaysia ke-30 (FFM30) dengan membuka penyertaan daripada produksi antarabangsa terutama negara Asia.

Ketua Pengarahnya Datuk Fauzi Ayob berkata, sempena FFM30 yang akan diadakan pada Disember ini, FINAS bercadang untuk mengangkat festival filem tanah air ke persada antarabangsa.

“FINAS masih berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta pelbagai agensi berkaitan untuk menjemput penerbit filem dari luar negara.

“Sama ada produk filem mereka akan turut dicalonkan dalam kategori anugerah khas atau mengambil bahagian dalam persembahan, akan diputuskan nanti,” katanya.

Fauzi berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara SRAM & MRAM Technologies & Resources Ltd dengan Produksi Seni 2020.

Turut dilancarkan, Jupiter X11 Fund dan drama bersiri 26 episod berjudul Moonlight Saigon di Kuala Lumpur, hari ini.

Bercakap mengenai kerjasama antara syarikat produksi dari Vietnam dan Produksi Seni 2020 itu, Fauzi berkata, ia adalah satu usahasama amat baik dalam mempromosikan lokasi-lokasi menarik di dalam negara kepada produksi luar negara.

“Penggambaran drama bersiri Moonlight Saigon dilakukan di Vietnam dan Malaysia, yang mana ia adalah satu perkongsian destinasi yang amat baik sekali.

“Ia memberi ruang kepada Malaysia mempromosikan lokasi penggambaran filem kepada syarikat produksi antarabangsa,” katanya.

Drama Moonlight Saigon akan disiarkan di TV2 pada 3 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 7:46 PM