SERAMAI 450,000 murid tahun satu menyertai Kempen Pencegahan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut.
SERAMAI 450,000 murid tahun satu menyertai Kempen Pencegahan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut.
Aniza Zainudin


SERAMAI 450,000 murid tahun satu di seluruh negara menyertai acara Rekod Untuk Tujuh Langkah Membersih Tangan Menggunakan Melilea Ecomind Hand Sanitizer secara serentak di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia memperkasakan kempen pencegahan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak sekali gus bertujuan mendidik murid mengenai kepentingan menjaga kebersihan.

Acara ini dianjurkan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Melilea International (Melilea) dan Kementerian Kesihatan bagi menyebarkan kesedaran berkenaan bahaya penyakit HFMD dalam kalangan murid, ibu bapa dan guru.

Menerusi kempen kali ini, murid tahun satu diajar cara yang betul membersihkan tangan dengan tujuh langkah menggunakan bahan membersih tangan (hand sanitizer).

Inisiatif ini bakal diiktiraf dan direkodkan dalam Malaysia Book of Records untuk bilangan murid paling ramai membersihkan tangan menggunakan ‘hand sanitizer’ secara serentak di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata kolaborasi ini dapat memberi manfaat dan membantu usaha kerajaan membanteras penyakit HFMD yang kian menular.

“Kempen ini relevan bagi meningkatkan kesedaran umum berkenaan HFMD. Langkah berjaga-jaga perlu dipraktikkan demi mencegah penyakit yang senang dijangkiti ini daripada terus merebak.

“Setakat 13 April 2019, terdapat 1,410 kes HFMD dilaporkan membabitkan murid sekolah sebanyak 5.9 peratus daripada keseluruhan kes dilaporkan.

“Rakyat Malaysia perlu bersikap lebih prihatin dalam mencegah penyakit seperti ini supaya ia dapat dibendung dengan lebih berkesan.

PROGRAM ini bakal diiktiraf Malaysia Book of Records.
PROGRAM ini bakal diiktiraf Malaysia Book of Records.

“Kita turut bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menangani masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Melilea, Datuk Dr Alan Wong berkata pihaknya komited dalam menyebarkan kesedaran kepada umum berkenaan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan keluarga.

Katanya, menerusi insiatif ini ia dapat membantu memberi panduan kepada ibu bapa dan anak dalam mencegah penyakit mudah berjangkit serta menjadikan amalan mencuci tangan sebagai amalan harian.

Penyakit HFMD adalah penyakit berjangkit disebabkan jangkitan virus Coxsackie dan virus Enterovirus yang mengakibatkan ulser dalam mulut, ruam pada tangan dan kaki.

Sering menyerang kanak-kanak, jika virus itu tidak dirawat segera boleh menyebabkan keradangan otak dan jantung. Tahun lalu, virus ini merebak secara meluas apabila penutupan sembilan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 5:00 AM