Nurul Husna Mahmud

Kuala Lumpur: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara ini mencatat kenaikan sehingga 28 peratus iaitu 5,993 kes sehingga Jun 2018 adalah perkara yang membimbangkan.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi Januari hingga Jun 2018, laporan membabitkan jangkitan itu meningkat sehingga 27,296 kes berbanding tahun lalu sebanyak 21,303 kes dalam tempoh sama.

Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Cuci Tangan Global ke-11, Unilever Malaysia menerusi pengeluar produk penjagaan badan, Lifebuoy bekerjasama dengan KKM untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai amalan menjaga kebersihan bagi mengekang jangkitan yang boleh membawa maut.

Pengarah Penjagaan Kecantikan, Peribadi dan Penjagaan Rumah Unilever Malaysia, Vincent Chong berkata, penyakit berjangkit melalui sentuhan boleh disebarkan secara langsung menerusi sentuhan dengan individu dijangkiti dan kanak-kanak adalah golongan paling berisiko.

Katanya, jenama itu turut berikrar untuk menjaga kebersihan tangan dengan mengamalkan teknik membasuh tangan yang betul dan ia dilihat sebagai langkah pencegahan paling mudah dalam menangani masalah penyakit berjangkit terutama HFMD.

“Lifebuoy memainkan peranan penting selaku rakan penyokong kempen global di sisi KKM dalam memberi nilai tambah kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Kami tumpukan kepada aspek mengubah tabiat rakyat untuk lebih menjaga kebersihan dengan amalan mencuci tangan.

“Amalan ini dapat mencegah jangkitan menerusi sentuhan yang sangat penting untuk meningkatkan kualiti kesihatan umum terutama kanak-kanak,” katanya selepas pelancaran kempen Hari Cuci Tangan Global ke-11, jenama sabun kebersihan itu, semalam.

Tambah Vincent lagi, Lifebuoy komited mengetengahkan kesedaran mengenai kepentingan mencuci tangan bagi mencegah dan mengawal jangkitan penyakit berjangkit seawal usia prasekolahmenerusi program School of 5.

TIMBALAN Pengarah KKM, Datuk Dr Chong Chee Kheong (dua dari kiri) melancarkan Lifebuoy Hari Cuci Tangan Global 2018 di Meridian Hotel.
TIMBALAN Pengarah KKM, Datuk Dr Chong Chee Kheong (dua dari kiri) melancarkan Lifebuoy Hari Cuci Tangan Global 2018 di Meridian Hotel.

Lifebuoy turut melabur lebih RM1 juta dalam program berkenaan sejak ia dimulakan pada 2015 yang disertai 223,258 kanak-kanak di seluruh negara.

“Selain mendidik tabiat menjaga kebersihan tangan, projek yang dimulakan di Kuching, Sarawak ini bertujuan mengukur kesan perubahan tabiat menerusi pendidikan dalam kalangan ibu bapa dan murid prasekolah.

“Tinjauan kaji selidik selama 21 hari ini turut membabitkan lebih 2,000 ibu bapa untuk memahami dan mengenali asas penjagaan kebersihan dan pengetahuan mengenai HFMD.

“Hasilnya, kesedaran bagi penggunaan sabun selepas penggunaan tandas naik sehingga 13 peratus dan penggunaan sabun sebelum serta selepas makan masing-masing 12 peratus dan enam peratus,” katanya.

Vincent berkata, jenama penjagaan diri itu menyasarkan tabiat mencuci tangan dengan betul mencapai satu bilion penduduk di seluruh dunia menjelang 2020.

“Usaha memupuk tabiat mencuci tangan adalah perkara yang perlu diketengahkan secara konsisten menerusi pakatan awam dan swasta selain menekankan pembabitan ibu bapa dalam memperkasakan amalan menjaga kebersihan dan kesihatan diri,” katanya.

VINCENT (kiri) bersama Annemarieke de Haan (dua dari kanan) dan Dr Norhayati Rusli menjayakan demonstrasi cuci tangan betul.
VINCENT (kiri) bersama Annemarieke de Haan (dua dari kanan) dan Dr Norhayati Rusli menjayakan demonstrasi cuci tangan betul.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), KKM merangkap Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Perunding Kanan, Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee berkata, kebersihan tangan adalah faktor penting untuk mengekang pemindahan bakteria, virus dan mikrob lain daripada sumber pencemaran.

“Kanak-kanak antara golongan berisiko terhadap jangkitan penyakit berjangkit kerana mereka kurang berhati-hati ketika menggosok mata atau mengesat hidung selepas menyentuh objek atau individu lain.

“Mereka menjadi golongan paling mudah dijangkiti kuman yang menyebabkan penyakit berjangkit seperti cirit-birit, pneumonia dan HFMD,” katanya.

Turut hadir dalam program terbabit ialah Pengarah Urusan Unilever Malaysia dan Singapura, Annemarieke de Haan dan Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah Kanan, Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Monash, Paul K Jambunathan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 10:02 AM