Putrajaya: Lapan belas murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Lick Hung, USJ Selangor yang dikesan dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam keadaan stabil dan dirawat sebagai pesakit luar, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, kelas yang terbabit ditutup untuk tujuan pembersihan bagi 'memutuskan' rangkaian jangkitan HFMD.

"Pencucian premis sekolah dijalankan pada Isnin dan Selasa (27 dan 28 April) bersama pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah.

"Setiap bilik darjah disediakan hand sanitizer untuk digunakan murid. Pihak sekolah akan melakukan pemantauan gejala HFMD ke atas murid secara harian dan mengenal pasti pelajar yang tidak hadir ke sekolah," katanya.

Subramaniam berkata demikian dalam sidang media berhubung situasi semasa HFMD, di kementeriannya di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan data survelan, kes penyakit HFMD akan memuncak pada setiap tiga tahun dan kes puncak tertinggi berlaku pada 2012 iaitu sebanyak 34,519 kes dengan satu kematian.

Oleh itu, tambah Subramaniam, langkah pencegahan adalah amat penting bagi mengelakkan peningkatan kes pada tahun ini.

"Kementerian Kesihatan sentiasa memantau kejadian HFMD di seluruh negara dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan.

"Orang ramai diminta melaporkan kes HFMD di taska, tadika dan sekolah kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran," katanya.

Subramaniam menambah, ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda jangkitan HFMD dinasihatkan supaya tidak membawa anak mereka ke tempat awam, sekolah atau taska.

Sebaliknya, berjumpa doktor dan mengutamakan kebersihan, katanya.

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah," katanya.

Bagi tempoh 19 April hingga 25 April tahun ini, sebanyak 269 kes dilaporkan di Selangor. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:30 PM