PELITA buluh ditempah daripada orang ramai bukan hanya sekitar Perlis tetapi juga dari Kedah, Perak, Melaka dan Terengganu. FOTO Twitter Bernama
PELITA buluh ditempah daripada orang ramai bukan hanya sekitar Perlis tetapi juga dari Kedah, Perak, Melaka dan Terengganu. FOTO Twitter Bernama
BERNAMA

SAMBUTAN Aidilfitri tahun ini pasti berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini berikutan penularan wabak Covid-19, namun bagi sepasang suami isteri, ia tidak menghalang mereka daripada membuat persiapan perayaan yang ditunggu-tunggu umat Islam itu.

"Raya tetap raya," kata Zainordin Nayan, 31.

Memasang pelita buluh atau lampu panjut di halaman rumah pada malam tujuh likur atau sepuluh malam terakhir Ramadan menjadi kemestian bagi Zainordin dan isteri, Hanafiza Hasnan, 30, setiap kali menjelang Aidilfitri.

Selain membuat pelita buluh untuk kegunaan sendiri, Zainordin yang bekerja sebagai penjual aiskrim turut menerima tempahan daripada orang ramai.

"Isteri saya mencadangkan agar saya menjualnya kepada penduduk kampung dan saya mula menjual pelita buluh empat tahun lepas, saya tidak menyangka akan menerima tempahan luar biasa pada tahun ini.

"Tempahan yang diterima pada tahun ini meningkat sebanyak tiga kali ganda apabila saya menerima tempahan sebanyak 1,000 unit daripada orang ramai bukan hanya sekitar Perlis tetapi juga dari Kedah, Perak, Melaka dan Terengganu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata beliau menerima tempahan sejak awal Ramadan dan kebanyakannya menerusi laman sosial Facebook dan penghantaran dibuat menggunakan perkhidmatan kurier.

Zainordin berkata, beliau menggunakan buluh jenis beting atau juga dikenali sebagai buluh bisa yang dibeli dengan harga RM3 sebatang daripada jirannya.

"Saya dapat hasilkan tiga unit pelita bagi setiap batang buluh dan ia dijual pada harga antara RM10 dan RM12 setiap satu," katanya.

Zainordin berkata beliau mengambil masa antara 10 hingga 15 minit menyiapkan satu unit pelita yang mempuyai empat sumbu dan dapat menghasilkan sebanyak 100 unit sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 3:21 PM