GELANDANGAN tidur di kaki lima kedai.
GELANDANGAN tidur di kaki lima kedai.
SELAIN makanan, pakaian juga dibiarkan di pekarangan Masjid Negara.
SELAIN makanan, pakaian juga dibiarkan di pekarangan Masjid Negara.
MAKANAN terbiar di pekarangan Masjid Negara.
MAKANAN terbiar di pekarangan Masjid Negara.
BURUNG gagak makan makanan yang ditinggalkan.
BURUNG gagak makan makanan yang ditinggalkan.
LONGGOKAN nasi lemak di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
LONGGOKAN nasi lemak di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Sudah menjadi trend setiap kali Ramadan pasti ramai yang berlumba-lumba mengambil peluang untuk membuat kebajikan.

Antara aktiviti yang popular pada bulan mulia ini ialah penyediaan makanan jalanan iaitu dengan memberikan makanan percuma kepada gelandangan sekitar ibu kota.

Tapi malangnya niat untuk mendapatkan pahala kebajikan bertukar sebaliknya apabila berlaku pembaziran makanan kerana terlalu ramai penyumbang berbanding penerima (gelandangan).

Masalah terbabit sudah berlarutan beberapa tahun dan situasi itu tidak ubah seperti ‘pesta makanan’ sekali gus menggambarkan seolah-olah tiada bulan lain boleh membuat kebajikan.

Tahun lalu, pekarangan Masjid Negara ‘berubah wajah’ menjadi kotor kerana terdapat banyak longgokan makanan terbiar yang ditinggalkan begitu saja oleh penyumbang sama ada individu ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perbuatan itu sekali gus mencemarkan imej masjid berkenaan sebagai institusi agama yang sememangnya sentiasa menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong asing.

Siapa yang harus dipersalahkan? Hakikatnya semua itu disebabkan keghairahan melampau masyarakat ‘memburu’ pahala dalam bulan mulia ini.

Ramai yang menuding jari menyalahkan antara satu sama lain dan bersikap lepas tangan.

Bagaimanapun, ada yang prihatin dan bersedia membantu menyelesaikan masalah itu. Ia adalah Empire Project (EP) iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cukup dikenali dengan keaktifannya memperjuangkan nasib golongan tidak bernasib baik di negara ini.

Daripada senario itu, tercetuslah Kempen Say No To Food Wastage yang dikendalikan NGO terbabit sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengurus EP Mohd Asyraf Khan Najib berkata, pengalaman seminggu sebelum Ramadan yang menjumpai 50 bungkusan makanan terbiar ditinggalkan di pekarangan Masjid Negara mendorong pihaknya mengadakan kempen itu.

Katanya, pada masa itu beliau bersama sukarelawan daripada NGO lain sedang mengedarkan barangan kelengkapan peribadi kepada gelandangan di kawasan terbabit.

“Kami sangat terkejut kerana turut melihat sekumpulan individu tidak bertanggungjawab meninggalkan makanan itu tanpa rasa bersalah.

“Ketika itu perasaan kami bercampur baur antara marah dan sedih kerana tindakan mereka boleh menyebabkan masalah sama berulang lagi.

“Perbuatan seperti itu tidak mencerminkan kerja kebajikan tapi lebih menjurus kepada pembaziran makanan,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, mereka terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk menyelesaikan masalah itu dengan membawa makanan terbabit ke kawasan berhampiran institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota untuk dikongsikan bersama gelandangan lain.

Katanya, tujuan kempen itu diadakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan NGO lain supaya tidak membazir makanan terutama pada Ramadan.

“Bagi mereka yang berminat membuat aktiviti sumbangan jalanan perlu terlebih dulu membuat kaji selidik atau bertanya kepada NGO berpengalaman sebelum aktiviti dijalankan.

“Masalah lambakan dan pembaziran makanan ini disebabkan terlalu banyak kumpulan NGO yang tampil serta mengadakan aktiviti ini secara tiba-tiba di beberapa lokasi pilihan yang sememangnya terdapat ramai gelandangan seperti di Masjid Negara, Dataran Maybank, Chow Kit dan Pudu pada Ramadan,” katanya.

Jelasnya, trend NGO memberi sumbangan makanan kepada gelandangan pada Ramadan meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa.

“Jika mereka berbincang dengan kami (NGO berpengalaman), kami boleh mencadangkan supaya makanan ini disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan seperti penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), penuntut institut pengajian tinggi, pelarian dan warga emas,” katanya.

Katanya lagi, tidak seharusnya aktiviti kebajikan itu terlalu memberi tumpuan kepada gelandangan semata-mata kerana masih ramai lagi kelompok yang memerlukan perhatian terutama miskin bandar.

Mohd Ashraf berkata, beliau bersama beberapa ahli NGO lain yang bekerjasama dalam kempen itu sanggup mengorbankan masa rehatnya ketika malam iaitu selepas menunaikan solat Tarawih untuk membuat tinjauan di sekitar ibu kota yang menjadi tumpuan gelandangan.

“Sejak satu Ramadan lagi kami membuat tinjauan itu dan mendapati jumlah makanan terbiar kian berkurangan. Berkemungkinan NGO terbabit sudah mengambil pengajaran dengan kejadian lalu.

“EP tidak bersendirian menjalankan kempen ini kerana dibantu beberapa NGO lain yang menentang perbuatan membazir makanan seperti Kindess Malaysia, Humanity, Misi SJ, Pandan Prihatin, Kelab Kembara Kicthen dan Aunty Brigade,” katanya dan berharap dapat mencapai sifar pembaziran makanan.

Sementara itu ahli Aunty Brigade, Rubian Ho Abdullah berkata, beliau bersama empat ahli yang lain sudah berpengalaman memberi makanan kepada gelandangan lebih tiga tahun lalu dan agak memahami ‘ragam’ mereka.

“Kita tidak boleh menyalahkan gelandangan sepenuhnya apabila mereka tidak makan makanan diberikan kerana sudah menerima terlalu banyak sumbangan seperti itu pada Ramadan.

“Ada gelandangan menerima hingga 10 bungkusan makanan dalam satu malam yang ditinggalkan NGO atau NGI ketika mereka tidur.

“Sebaik mereka bangun tidur, didapati makanan itu sudah rosak dan tidak boleh dimakan lagi,” katanya.

Menurutnya, gelandangan memaklumkan yang mereka lebih memerlukan makanan kering seperti biskut, roti dan air minuman serta kelengkapan peribadi.

“Ini boleh dianggap keperluan mendesak mereka kerana barangan itu jarang diperoleh padahal ia sangat diperlukan.

“Makanan kering pula lebih tahan dan mereka boleh gunakan untuk bersahur,” katanya yang bercadang memberi kain pelekat dan batik kepada gelandangan sempena Aidilfitri.

Ditanya sama ada bantuan itu akan menarik lebih ramai menjadi gelandangan, Rubian menegaskan membantu gelandangan adalah pilihan masing-masing untuk membuat kebajikan.

Katanya, setiap orang mempunyai pendekatan tersendiri untuk membuat kerja amal terutama Ramadan.

“Tidak usahlah mempertikaikan aktiviti kebajikan orang lain kerana yang lebih penting adalah keikhlasan meringankan beban insan kurang bernasib baik.

“Mereka juga sebenarnya tidak mahu menjadi gelandangan tapi ada sebab tertentu yang memaksa mereka memilih cara hidup sebegitu,” katanya.

Rubian mengakui pada masa sama mengambil peluang mendekati golongan itu bagi mendengar luahan hati dan mengetahui punca mereka menjadi gelandangan.

Menurutnya, gelandangan juga manusia biasa yang mempunyai perasaan dan sewajarnya mereka dilayan dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 11:57 AM