PUSAT Khidmat Gelandangan Medan Tuanku. FOTO ASWADI ALIAS.
PUSAT Khidmat Gelandangan Medan Tuanku. FOTO ASWADI ALIAS.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit menyantuni gelandangan di sekitar ibu negara akur dengan penetapan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai tiga lokasi pengagihan makanan pada bulan Ramadan ini.

Ia bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang dan segala bentuk sumbangan dapat dijalankan secara lebih teratur.

Pengerusi Muslim Care Global (MCG), Sham Samad berkata, pihaknya akur dengan arahan berkenaan dan menyifatkan ia demi kebaikan bersama.

Katanya, walaupun program bersama gelandangan tidak dapat dilaksanakan, mereka masih boleh mengambil makanan di lokasi disediakan.

"Mungkin ini keputusan untuk menyusun semula aktiviti pemberian makanan kepada gelandangan.

"Secara umumnya MCG tiada masalah dengan arahan ini walaupun sudah beberapa tahun bersama gelandangan di Jalan Tuanku Abdul Rahman," katanya.

Beliau mengulas perincian DBKL mengenai tiga lokasi dibenarkan untuk pengagihan makanan kepada golongan miskin dan gelandangan iaitu Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit.

Selain tiga lokasi itu, NGO atau individu berkenaan tidak dibenarkan mengedarkan sumbangan di sekitar ibu kota tanpa kebenaran DBKL.

Menurutnya, ia bagi memastikan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi pihak terbabit yang menyantuni gelandangan di ibu negara.

Kenyataan itu turut menyebut, aktiviti sumbangan dan pengagihan makanan sempena Ramadan yang dijalankan tanpa kawal selia DBKL sebelum ini menimbulkan masalah lambakan sumbangan, sekali gus menyebabkan pembaziran dan kekotoran.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Haliza Abdul Halim berkata, pihaknya akan memohon kepada DBKL untuk memberikan kebenaran meneruskan bantuan kepada gelandangan di lokasi biasa iaitu di sekitar Bulatan Kinabalu.

"Sebelum ini, tidak ada isu kebersihan di dalam program dianjurkan kerana kami bekerjasama dengan Alam Flora.

"Sebelum ini tiga lokasi itu turut disediakan untuk mengambil makanan pada bulan Ramadan, namun kita perlu fikir bagaimana dengan mereka yang sakit.

"Bagaimana mereka nak ke lokasi itu mengambil makanan," katanya.

Berita berkaitan

'Dilarang agih makanan kepada gelandangan sepanjang Ramadan'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 1:16 PM