11 PESERTA yang mengikuti pertandingan Global Robot Camp.
11 PESERTA yang mengikuti pertandingan Global Robot Camp.
Fazurawati Che Lah

Biar pun baru kali pertama menyertai pertandingan di luar negara, Sekolah Rendah Islam Al-Amin, Gombak, Selangor terus melakar kejayaan besar dalam pertandingan robotik Global Robot Camp yang diadakan di Kangwon National University Gangwondo, Chuncheon, Korea baru-baru ini.

Sekolah berkenaan yang membawa 11 murid berjaya membawa pulang satu emas, dua perak dan dua gangsa untuk kategori Robot Soccer dan tempat kedua bagi Anugerah Coding Drive.

Guru Penasihat, Nur Atika Abas, berkata sekolah itu dipilih My Robot Time untuk bersama 11 negara lain berentap untuk pertandingan robotik sempena Sukan Olimpik musim sejuk di Korea.

Beliau tidak menyangka sekolah itu meraih kejayaan besar kerana persiapan untuk pertandingan hanya dilakukan pada minggu pertandingan.

AHLI kelab Robotik sedang menguji robot yang dihasilkan.
AHLI kelab Robotik sedang menguji robot yang dihasilkan.

“Berdepan kekangan waktu untuk latihan dan peserta hanya sempat berlatih di Korea saja.

“Biar pun ramai peserta yang kali pertama menyertai pertandingan itu, mereka menunjukkan semangat yang tinggi mencipta robot dengan kreatif,” katanya.

Katanya kemenangan itu sekali gus menaikkan semangat beliau dan warga sekolah untuk terus mengaktifkan persatuan robotik di sekolah berkenaan.

Melalui kejohanan robotik itu, murid sekolah berpeluang memperoleh pengalaman pembelajaran secara ‘hands on’ dan memupuk minat untuk mengukuhkan potensi serta kreativiti mereka.

“Program seperti ini dapat meningkatkan kemahiran murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta mengaplikasikan ilmu pengetahuan menggunakan komputer untuk memprogramkan robot masing-masing,” katanya.

SALAH seorang ahli kelab Robotik menunjukkan robot yang dicipta.
SALAH seorang ahli kelab Robotik menunjukkan robot yang dicipta.

Katanya, Kelab Robotik yang kini memasuki tahun ketiga di sekolah itu memiliki lebih 30 ahli dan berharap menjadi salah satu usaha melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang robotik selain dapat menguji kebijaksaan dan kreativiti pelajar.

Malaysia menghantar 37 peserta untuk pertandingan di Global Robot Camp yang mana ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 11:59 AM