AMER mengendalikan robot sewaktu pertandingan secara dalam talian. FOTO IHSAN ZULKARNAIN A NAWANI
AMER mengendalikan robot sewaktu pertandingan secara dalam talian. FOTO IHSAN ZULKARNAIN A NAWANI
Redzuan Muharam


KEHEBATAN pesaing dari negara lain tidak menggugat kemampuan Amer Khawarizmi Zulkarnain untuk menjuarai Pertandingan Robotik 'Street Fight' kategori Minisumo RC Robot yang diadakan menerusi platform Microsoft Team Meeting, baru-baru ini.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Amer, 16, selaku wakil Malaysia meraih pingat dan sijil kemenangan selepas mencatat rekod keseluruhan terpantas dalam kesemua tiga pusingan.

Bercerita lanjut, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia menyertai pertandingan berkenaan selepas menerima jemputan daripada penganjur.

Menurutnya, biarpun berpengalaman menyertai pelbagai kejohanan, namun perasaan gementar tetap ada kerana perlu berdepan dengan pesaing dari luar negara yang bukan calang-calang.

Namun, katanya, dia melakukan persediaan awal secara rapi mengikut piawaian pertandingan selain menguji kamera dan suara dengan rakan pemain dalam negara.

"Setiap peserta dikehendaki membuat tapak iaitu 'dohyo' untuk robot Sumo mengikut mengikut saiz ditetapkan dalam syarat pertandingan.

"Selepas siap, barulah saya mulakan latihan dengan purata sejam setiap hari bagi membiasakan diri mengawal robot dan menjatuhkan objek mengikut reka bentuk yang diberi dalam manual pertandingan.

"Cabaran utama masa kerana pertandingan sepatutnya bermula 5 pagi, tetapi saya agak bertuah kerana penganjur memahami dan membenarkan masuk pada 7.30 pagi waktu Malaysia," katanya ketika dihubungi.

Selain itu, perbezaan bahasa juga cabaran perlu dihadapi tetapi bapanya Zulkarnain A Nawani, 40, banyak membantu dengan bertindak sebagai penterjemah.


Menurut Amer, persaingan agak sengit dan pencabar terdekat adalah peserta dari Ecuador dan Mexico kerana kedua-dua negara itu terlebih dulu aktif dalam bidang robotik.

Disebabkan itu, dia tidak menjangka kemenangan berpihak kepadanya.

"Tujuan sebenar saya menyertai pertandingan itu pada mulanya hanya sekadar untuk memeriahkan dan menimba pengalaman sahaja.

"Lagipun, pesaing lain khususnya dari Ecuador dan Mexico memang mendahului bidang robotik 10 tahun lebih awal dari Malaysia, jadi pengalaman dan pengetahuan mereka amat luas.

"Kemahiran mereka mengendalikan robot tidak boleh dipertikaikan terutama Mexico yang sering menjuarai pertandingan dan terbaru di Jepun. Jadi, saya rasa seperti tidak percaya apabila diumumkan sebagai juara," katanya.

Berkongsi perancangannya, Amer berkata, dia mahu menimba lagi pengalaman dengan menyertai pertandingan, tetapi kebanyakannya dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

"Jadi, saya perlu mencari peluang untuk menyertai mana-mana pertandingan maya di samping berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat.

"Contohnya, dengan mengadakan webinar dan perjumpaan maya menggunakan aplikasi Google Meet untuk berkongsi ilmu dan membantu rakan yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai robot.

"Di samping itu, saya dan ayah turut menghasilkan robot untuk dijual dan memberi khidmat nasihat berkaitan pengaturcaraan, penjagaan dan pengendalian robot untuk sekolah, baru-baru ini menerusi Google Meet dan Zoom," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 8:04 PM