HISHAMMUDIN (berdiri,  dua dari kanan)  bersama ahli Kelab Robotik SK Putrajaya Presint 11 (3) terdiri dari Muhammad Zarif Hasrul Disha, 11, Harraz Ikram Harris Ong, 13, Muhammad Shahmi Mohamed Syamsuddi, 13, Qhalif Hasbi Iman Mohd Khairi, 13, Muhammad Hafiz Irfan Mohd Hafizal, 11.  FOTO Bernama
HISHAMMUDIN (berdiri, dua dari kanan) bersama ahli Kelab Robotik SK Putrajaya Presint 11 (3) terdiri dari Muhammad Zarif Hasrul Disha, 11, Harraz Ikram Harris Ong, 13, Muhammad Shahmi Mohamed Syamsuddi, 13, Qhalif Hasbi Iman Mohd Khairi, 13, Muhammad Hafiz Irfan Mohd Hafizal, 11. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Bunyi mesin berfungsi di sebuah bilik di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(3) di sini, tidak asing lagi ketika sesi kokurikulum berlangsung setiap minggu.

Suasana sedemikian kedengaran apabila murid yang menyertai Kelab Robotik SK Putrajaya Presint 11 (3) berlumba-lumba menguji kemampuan robot dihasilkan menggunakan komponen lego serta melalui pengaturcaraan komputer.

Robot ciptaan ahli kelab robotik itu mendapat tumpuan kerana pernah menyerlah di peringkat antarabangsa seperti merangkul empat pingat termasuk satu emas pada pertandingan Liga Robot Sedunia 2019 di Ulsan, Korea Selatan.

Guru penyelaras Kelab Robotik SK Putrajaya Presint 11(3) Siti Maryam Rahman berkata, kelab itu disertai lapan murid tahun dua hingga enam yang terpilih selepas melalui ujian khas.

"Ujian perlu dilalui adalah asas pengaturcaraan komputer dan mencipta robot. Kita tidak boleh ambil murid dalam jumlah besar kerana set robot lego yang ada adalah terhad. Mereka cuba cipta robot terbaik untuk bersaing dalam pertandingan," katanya.

Menurut Siti Maryam, ada bekas murid sekolah berkenaan yang pernah menjadi ahli Kelab Robotik SK Putrajaya Presint 11(3) masih berkecimpung dalam bidang robotik meskipun berada di sekolah menengah.

ROBOT ciptaan mereka pernah merangkul empat pingat termasuk satu emas pada pertandingan Liga Robot Sedunia 2019 di Ulsan, Korea Selatan. FOTO Bernama
ROBOT ciptaan mereka pernah merangkul empat pingat termasuk satu emas pada pertandingan Liga Robot Sedunia 2019 di Ulsan, Korea Selatan. FOTO Bernama

Guru Besar SK Putrajaya Presint 11(3) Hishammudin Ahmad berkata, bagi mempertingkatkan kemahiran robotik murid, pihaknya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan International Robotics Educational Association (IREA) Korea Selatan.

"Melalui MoU ini, pihak IREA memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai pertandingan di Korea Selatan untuk kami sertai," katanya pengalaman ditimba daripada kejohanan besar memberi pendedahan luas kepada ahli kelab robotik sekolah itu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, kelab robotik sekolah itu masih menyertai kejohanan termasuk peringkat antarabangsa antaranya Festival Liga Robot Sedunia 2020, walaupun bukan secara kehadiran fizikal.

AHLI Kelab Robotik SK Putrajaya Presint 11 (3)  menguji kemampuan robot dihasilkan menggunakan komponen lego serta melalui pengaturcaraan komputer. FOTO Bernama
AHLI Kelab Robotik SK Putrajaya Presint 11 (3) menguji kemampuan robot dihasilkan menggunakan komponen lego serta melalui pengaturcaraan komputer. FOTO Bernama

Mohd Asraf Mohd Siraj yang juga guru penyelaras kelab itu berkata, pelajar menyertai kelab robotik itu dibimbing bukan sahaja dari sudut pembelajaran robotik malah cara berkomunikasi dengan baik.

"Kami latih murid ini cara bertutur kerana mereka bertemu pelajar antarabangsa lain. Membaca, bertutur dan kemahiran menulis amat penting.

"Ketika sertai kejohanan di Korea Selatan, murid ini mudah berkomunikasi dan menyesuaikan diri dengan murid antarabangsa lain… ini sesuatu membanggakan," katanya.

Ahli kelab, Muhammad Hafiz Irfan Mohd Hafizal, 11, berkata, penyertaan dalam kelab robotik sekolah membolehkannya bertemu ramai murid antarabangsa yang mahir dalam bidang itu.

"Saya bangga sebab dapat pergi ke luar negara untuk kejohanan robotik, kalau boleh saya ingin ajak ramai lagi rakan sertai kelab ini," katanya yang menyertai kelab itu sejak tahun dua. -Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 6:01 AM