PESERTA bengkel, penceramah dan tetamu jemputan bergambar kenangan.
PESERTA bengkel, penceramah dan tetamu jemputan bergambar kenangan.
MODEL kayu yang dipamerkan di luar dewan kuliah menarik perhatian pelajar.
MODEL kayu yang dipamerkan di luar dewan kuliah menarik perhatian pelajar.
Oleh Mohd Hafizan Mohd Rajab


Inovasi seni bina hari ini turut meletakkan kayu sebagai medium utama dan terpenting.

Penggunaannya juga lebih mesra alam dan membuktikan kepakaran serta ada nilai estetika tersendiri.

Menyedari situasi itu, lebih 500 pelajar seni bina sekitar Lembah Klang berkumpul di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor, baru-baru ini.

Bengkel ‘Workshop on Designing with Timber - An Architectural Perspective’ itu antara pengkongsian pengalaman dengan dua pencemarah yang juga pengamal seni bina, Andrew Lawrence dan Jonas Lencer.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perkayuan Malaysia, Datuk Dr Abdul Rahim Nik berkata, negara ini antara pengeluar kayu berkualiti terkenal di seluruh dunia.

Namun, kita masih ketinggalan dalam inovasi seni bina menggunakan kayu sebagai medium utama.

“Kebanyakan pemaju perumahan masih memilih konkrit sebagai asas binaan sedangkan penggunaan kayu berkualiti mampu menjadikan bangunan lebih baik dari segi penstrukturannya.

“Bengkel bersama dua penceramah yang cukup berpengalaman ini diharapkan mampu mengubah persepsi kita mengenai penggunaan kayu sebagai medium utama seni bina,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penggunaan kayu dalam seni bina, Abdul Rahim berkata, berbanding besi atau konkrit, kayu mampu mengurangkan penggunaan tenaga ketika pembinaan dilakukan.

“Secara tidak langsung mengurangkan kesan gas rumah hijau dan penggunaan karbon.

“Bengkel ini diharapkan dapat memberi lebih pengetahuan mengenai penstrukturan kayu sebagai elemen penting dalam seni bina.

“Pada masa sama menjadi cabaran baru kepada anda yang bakal menjadi penyambung dalam bidang ini,” katanya di bengkel berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Teknologi Hijau dan Pembangunan Mampan UiTM, Norhati Ibrahim dan Pengarah Majlis Perkayuan Bahagian Pembangunan Industri Malaysia, Hamidah Abdullah.

Andrew cukup dikenali dengan hasil seni bina antaranya Endless Stair, Centre Pompidou-Metz dan Timber Wave.

Dia juga ahli Timber Eirocode Committee dan pensyarah dalam bidang seni bina.

Jonas pula terkenal sebagai pakar dalam bidang fabrikasi dan penstrukturan kayu.

Beliau banyak terbabit dalam projek mega seperti Wansey Street Project yang memenangi DDRM the BD Public Housing Architect of the Year Award.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 1:56 AM