THE Interlace sebuah ‘perkampungan’ menegak.
THE Interlace sebuah ‘perkampungan’ menegak.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Sempena Festival Seni Bina Dunia (WAF), The Interlace, Singapura, iaitu sebuah ‘perkampungan menegak’ dinobatkan sebagai ‘World Building of the Year 2015,’ baru-baru ini.

Pembangunan kediaman itu direka OMA/Buro Ole Scheeren, satu pendekatan baru dan radikal untuk gaya hidup kontemporari dalam persekitaran tropika.

Binaan yang mesra alam itu membabitkan binaan 31 blok pangsapuri dengan ketinggian 70 meter.

Ia disusun dalam bentuk heksagon dengan suasana lapang menerusi lapan halaman terbuka.

Malah skim ini turut mewujudkan satu rangkaian persekitaran dalaman dan luaran yang pelbagai.

WAF acara seni bina antarabangsa yang terbesar di dunia khusus untuk meraikan kecemerlangan idea dan seni bina.

Pengarah WAF Paul Finch berkata, binaan The Interlace menunjukkan contoh berani dalam mengetengahkan pemikiran seni bina kontemporari.

Malah, projek itu turut membentangkan alternatif terbaik yang memperlihatkan idea seni bina selari gaya hidup masyarakat hari ini.

Kemenangan projek perumahan itu menandakan kemuncak WAF empat tahun berturut-turut berlangsung di Singapura sebelum bergerak ke Berlin, Jerman pada 2016.

Kemenangan bagi projek masa depan untuk tahun 2015 pula membabitkan pengiktirafan kepada seni bina dunia yang masih belum selesai iaitu Vancouver House, Kanada, hasil idea BIG Bjarke Ingells Group.

Vancouver House menampilkan idea binaan yang memberi tumpuan kepada penggunaan ruang selesa dalam apartmen.

Berada di bangunan itu, bagaikan ‘tabir’ yang mengalu-alukan kunjungan ke sebuah kota.

Juri menyifatkan Vancouver House antara projek yang menarik dalam menjana idea binaan bandar baru.

Ia bakal memberikan kesan positif pada banyak perbandaran dan pemaju untuk rangkaian binaan atau agenda masa depan untuk bandar di seluruh dunia.

‘Landscape of the Year 2015’ pula dimenangi Yanweizhou Park, China, antara projek Turenscape International.

Yanweizhou Park mempamerkan penyelesaian ekologi dengan kemampuan menangani masalah banjir besar.

Malah, projek Yanweizhou Park menggunakan strategi ‘pecah tanah’ untuk mewujudkan benteng sungai teres dengan penyesuaian beberapa tanaman terpilih.

Laluan pejalan kaki di taman itu turut disepadukan dengan teres penanaman yang juga disesuaikan de­ngan kehadiran musim banjir.

Bukan saja menjadi signifikan ke atas penyelesaian masalah banjir semata-mata, malah penggunaan jambatan pula dilihat antara usaha mengeratkan hubungan sesama masyarakat.

Seterusnya Lidingovallen, stadium bola sepak Sweden dalam bentuk mini dihasilkan DinellJohansson menerima anugerah The Small Project of the Year 2015.

Idea itu mendapat pujian kerana tindak balas imaginatif dan kesan besar mungkin dapat diperoleh dengan projek kecil itu dan juri menggelarkannya sebagai hasil yang berani.

Kategori ‘Colour Prize’ dengan kerjasama AkzoNobel pula dinobatkan kepada ONS Incek iaitu bilik pameran dan pejabat jualan di Turki hasil idea Yazgan Design Architecture.

Ia diiktiraf sebagai penggunaan terbaik warna daripada 338 penyertaan yang disenarai pendek pada tahun ini.

Juri menyifatkan penggunaan warna menyumbang kepada terbinanya seni bina.

Sekali gus, ia menyaksikan bentuk dan warna mengintegrasikan dengan lancar.

Pengarah Urusan AkzoNobel Decorative Paints Asia Tenggara & Asia Selatan, Timur Tengah Jeremy Rowe berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada semua projek yang disenarai pendek untuk ‘Colour Prize.’

“Kualiti penghujahan tahun ini sangat tinggi dan kami berbesar hati menaja anugerah berprestij ini sekali gus meraikan penggunaan warna untuk mengubah seni bina.

“AkzoNobel sentiasa berusaha untuk berada di barisan hadapan dalam aliran reka bentuk.

“Menetapkan ‘Monarch Gold’ sebagai warna AkzoNobel untuk 2016. Diharap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak reka bentuk canggih daripada arkitek pada tahun akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:05 AM