Susunan Hartini Mohd Nawi


Seni bina Habitat 67 antara yang sukar dinafikan kehebatannya apabila ia berjaya menarik perhatian masyarakat seluruh dunia.

Habitat 67 adalah sebuah kompleks perumahan yang terletak di Montreal, Quebec, Kanada dan ia dibina arkitek terhebat Moshe Saf­die.

Bangunan itu direalisasikan sebagai pavilion utama dan menjadi perlambangan Ekspo Antarabangsa Dunia yang bertemakan Manusia dan Dunianya diadakan di Montreal pada 1967.

Ketika ekspo berkenaan, Habitat 67 menjadi kediaman sementara orang kenamaan yang datang melawat Montreal.

Malah, keajaiban seni bina itu turut dianggap sebagai mercu tanda seni bina.

Direka bentuk untuk menyepadukan kepelbagaian kediaman di kawasan berkenaan yang sebelumnya tidak terancang.

Pada waktu sama, projek itu direka untuk mewujudkan perumahan berpatutan dengan jarak dekat dan masing-masing dilengkapi dengan taman.

Idea seni binanya juga dipercayai untuk menggambarkan gaya hidup masyarakat dunia hari ini yang tinggal di bandar sesak.

Suasana semula jadi dengan persekitaran segar juga tidak diabaikan apabila Habitat 67 mempunyai teres landskapnya tersendiri.

Ia direka dengan bentuk konkrit pasang siap disusun dalam pelbagai kombinasi dengan ketinggian 12 tingkat.

Tidak dinafikan eksperimen hebat yang dilakukan Moshe itu dianggap antara ‘kejayaan dan kegagalan’ sekali gus mentakrifkan semula kehidupan bandar pada kaca mata artikek terbabit.

Bagaimanapun, Moshe sudah berjaya mereka bentuk lebih 75 bangunan dan pelan induk seluruh dunia.

Kini, biarpun lebih daripada 40 tahun binaan Habitat 67 itu, hasil kerja Moshe masih berpegang kepada konsep yang begitu asas dari segi reka bentuk, terutama tema konsep baru perumahan berkepadatan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:15 AM