BUMBUNG PAM Centre Bangsar ini dimanfaatkan dengan pelbagai fungsi termasuk ruang aktiviti selain menempatkan tanaman herba.
BUMBUNG PAM Centre Bangsar ini dimanfaatkan dengan pelbagai fungsi termasuk ruang aktiviti selain menempatkan tanaman herba.
MANIFESTASI seni dan kehijauan alam di pelantar bumbung.
MANIFESTASI seni dan kehijauan alam di pelantar bumbung.
Hartini Mohd Nawi


Pengiktirafan sebagai Indeks bangunan hijau (GBI) berpotensi menjadi antara pemangkin utama dalam pertumbuhan industri bangunan hijau di negara ini.

Apabila memperkatakan berkenaan bangunan hijau ini, ia berkait dengan aplikasi produk dan sistem untuk memelihara alam sekitar serta semula jadi.

Ia juga selain mengurangkan kesan negatif hasil daripada aktiviti manusia.

Muncul antara mercu tanda baru, Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Centre Bangsar, Kuala Lumpur begitu sinonim dengan bangunan hijaunya selain direka dengan mempertimbangkan keseimbangan alam sekitar, budaya dan masyarakatnya.

Keseluruhan dan perincian reka bentuknya sesuai dengan aspirasi PAM Centre Bangsar sebagai pusat pengembangan dan pembangunan seni bina.

Arkitek Mohd Heikal Hasan dari HMA & Associates memenangi pertandingan mereka bentuk PAM Centre Bangsar itu dengan tafsiran yang ringkas tetapi elegan selari fungsinya.

Ia memperlihatkan satu penyelesaian elegan pada tapak berkeluasan terhad dengan bentuk muka buminya yang bercerun.

“Apabila merancang pembinaan bangunan ia perlu selari dengan prinsip rekaan termasuk seperti bentuk, ruang, susunan, hierarki, skala, perpaduan, keharmonian, kontra, keseimbangan, koordinasi, artikulasi dan integrasi.

“Identiti seni bina Malaysia cuba saya terjemahkan pada PAM Centre Bangsar ini sekali gus melayakkannya ia menerima GBI dengan penarafan platinum.

“Secara tidak langsung menggambarkan kelapangan (ruang luas) dengan pendekatan minimalis dari segala aspek sama ada manifestasi fizikal, kualiti ruang atau penggunaan bahan.

“Fokus utamanya termasuk penggunaan bahan binaan tempatan, penyediaan pengudaraan semula jadi dan penggunaan pencahayaan semula jadi.

“Malah ia turut dibangunkan selari kemajuan teknologi, pembangunan sosial, budaya dan perubahan iklim negara ini,” katanya yang ditemui di PAM Centre Bangsar, baru-baru ini.

Turut hadir dalam sesi temu bual itu, arkitek Mustapha Kamal Zulkarnain.

Mohd Heikal berkata perancangan keseluruhan bangunan turut mengambil kira dengan ‘membawa’ ruang luar ke dalam bangunan kerana ia adalah elemen penting dalam persekitaran bandar.

“Alternatif lain adalah dengan mencipta persekitaran hijau dalam bangunan termasuk taman hijau di bumbung pusat perkembangan dan pembangunan seni bina ini.

Pada masa sama ciri-ciri kecekapan tenaga turut diketengahkan merangkumi pelbagai aspek termasuk penggunaan pencahayaan dan pengaliran udara semula jadi.

Lebih membanggakan apabila struktur sedia ada (bangunan lama) dikekalkan dan digunakan semula.

“Empat struktur sedia ada dikekalkan kecuali struktur bumbung dan tangga sedia ada dirobohkan.

“Ia bagi untuk membolehkan penambahan atau pembinaan baru.

“Kafeteria, ruang pameran, auditorium, ruang penyimpanan, bilik latihan dan bilik solat berada dalam struktur sedia ada,” katanya yang menamakan konsep rekaan itu sebagai ‘The Space Between.’

Di samping itu, bagi mengurangkan haba dan silau ketika berada di bahagian dalam bangunan itu ‘peranti perkongsian cahaya matahari’ dan tirai disediakan.

Ia terletak pada fasad barat laut bangunan itu untuk mengelak silau dan haba menembusi ruang pejabat.

“Udara sejuk yang terperangkap di bahagian depan yang menghadap tenggara dalam bangunan konkrit ini ‘dilepaskan’ ketika pagi untuk menyejukkan bangunan,” kata Mohd Heikal.

Begitu juga kecekapan tenaga yang memaksimumkan pandangan atau keselesaan visual.

Tidak ketinggalan setiap pokok yang ditanam dalam bangunan pada setiap tingkat membantu menyerap karbon dioksida selain menghasilkan oksigen.

Taman vertikal dan herba pula memberikan bukan saja menawarkan persekitaran segar, malah boleh dimanfaatkan kegunaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 6:18 AM