REKAAN futuristik.
REKAAN futuristik.
KABIN kemas dan mewah.
KABIN kemas dan mewah.
ENJIN menyalurkan prestasi terbaik.
ENJIN menyalurkan prestasi terbaik.
SUV yang menarik perhatian.
SUV yang menarik perhatian.
Oleh Erywan Norshal


Sejak diperkenalkan pada 1998, Lexus RX menjadi model popular jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) premium buatan Jepun selepas dijual melebihi 2.2 juta pada peringkat global.

Ia kini kembali dengan generasi keempat yang masih mewarisi keunikan SUV sebelum ini, tetapi menerima sentuhan revolusi lebih menyerlah.

Lexus RX baharu dilancarkan Lexus Malaysia baru-baru ini, jelas membuktikan ia banyak berubah dengan penambahan ciri inovatif serta estetika reka bentuk lebih elegan.

RX bermaksud ‘Radiant Crossover’ mencerminkan gaya sebenarnya untuk menjadikan satu model penting barisan kenderaan jenama Lexus.

Model berkenaan tampil sentuhan tajam serta lengkungan yang ekstrem sekali gus berkongsi genetik barisan model terkini Lexus.

Genetik terbaru itu membabitkan penampilan dari segi bumbung ‘floating’ dan jeriji ‘Spindle’ kelihatan lebih menonjol sebagai tanda khusus jenama berkenaan.

Secara keseluruhan, Lexus RX baharu lebih panjang 0.12 meter (m) yang mana jarak roda turut dipanjangkan sehingga 0.05m bagi meningkatkan keluasan ruang kabin serta menyimpan barang.

Ruang baru itu juga mampu memuatkan lima penumpang dengan lantai bahagian belakang yang direndahkan bagi menyumbang keselesaan seperti model tertinggi sedan mewah iaitu Lexus LS.

Bahagian dalaman direka untuk mengimbangi gaya kemewahan serta fungsinya dalam menawarkan suasana yang ideal kepada penumpang.

Bagi memberi keselesaan optimum kepada pemandunya, stereng serta kedudukan bergerak secara automatik bagi memudahkan keluar dari kenderaan.

Pada masa sama, panel meter kelajuan dilengkapi skrin paparan pelbagaian maklumat (MID) bersaiz 4.2 inci yang tampak futuristik.

SUV premium itu ditawarkan dengan enam varian membabitkan ­Lexus RX200t Premium, RX200t Luxury, RX200t F Sport, RX350 Luxury, RX350 F Sport dan RX450h.

Varian RX200t ia menggunakan enjin petrol 2.0 liter (8AR-FTS) turbocaj suntikan terus padanan kotak gear enam kelajuan automatik dan pada masa sama menghamburkan 235 kuasa kuda dengan 350 Nm.

Lexus RX350 masih menggunakan rangkaian kuasa 3.5 liter V6 suntikan terus dengan padanan transmisi automatik lapan kelajuan baharu. Enjin itu menghasilkan 295 hp dengan tork setinggi 370 Nm.

Spesifikasi paling tinggi, RX450h pula menggabungkan enjin 3.5 liter V6 suntikan terus dengan rangkaian kuasa hibrid.

Enjin menggunakan kitaran Atkinson mendahului dalam kelasnya dalam menawarkan penjimatan bahan api serta pengurangan pembebasan emisi.

Ia menghamburkan kuasa maksimum sehingga 308 hp sekiranya tenaga daripada enjin serta sistem hibrid digabungkan.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Datuk Ismet Suki berkata, Lexus RX juga hadir dengan ciri keselamatan terkini dengan Kawalan Penglihatan Panoramik (PVM), 10 beg udara SRS, Kawalan Titik Buta serta Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA).

Menurutnya, sejak melancarkan Lexus RX di Malaysia pada 2009, sejumlah 2,300 unit terjual dan angka itu akan menyumbang untuk meletakkan Lexus Malaysia di tempat ketiga dalam kategori kenderaan mewah pada 2015.

Lexus RX ditawarkan dengan harga tanpa insurans antara RM388,800 sehingga RM520,200.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:03 AM