LEXUS NX 200t F-SPORT.
LEXUS NX 200t F-SPORT.
BENTUK yang aerodinamik.
BENTUK yang aerodinamik.
LAMPU belakang bingkai hitam.
LAMPU belakang bingkai hitam.
ENJIN yang memberi pemanduan yang menarik.
ENJIN yang memberi pemanduan yang menarik.
PAPAN pemuka yang padat dengan teknologi terkini.
PAPAN pemuka yang padat dengan teknologi terkini.
TEMPAT duduk belakang yang selesa.
TEMPAT duduk belakang yang selesa.
Oleh Erywan Norshal


Kenderaan utiliti sukan (SUV) premium, Lexus NX mengambil masa hampir lima tahun dengan menggunakan lebih 2,000 jurutera untuk membangunkan kenderaan terbabit.

Nyata usaha yang bersungguh-sungguh itu, membuahkan hasil mengagumkan model SUV premium dengan menerapkan ciri moden, futuristik dan kelihatan berbeza.

Ketahanannya juga sudah pun teruji selepas menempuh ujian lebih 1,000,000 kilometer sebelum pelancaran secara global pada pertengahan tahun lalu.

Jika menyentuh namanya, N bermaksud ‘next generation’ manakala ‘crossover’ bagi X sekali gus memberi hala tuju baru kepada jentera berkenaan.

Mahu melihat secara dekat keistimewaan model itu, penulis diberi peluang memandu uji Lexus NX NX200t F Sport dan ia adalah varian paling tinggi dalam keluarganya.

Reka bentuk luarannya sangat menggiurkan lebih-lebih lagi bahagian hadapan dengan padanan jeriji yang besar, lampu siang LED berbentuk ‘L’ berada pada bampar serta lampu utama rekaan tajam bergaya.

Garisan yang membentuk bahagian tepi turut menyerlahkan wataknya, selain lampu belakang dikemaskan dengan bingkai hitam.

Cantik di luar, di dalamnya juga menyalurkan imej yang sama apabila ruang kabinnya diselubungi dua kemasan warna berbeza iaitu merah dan hitam.

Kali pertama melihatnya, ia bukan saja tampak mewah malah kelihatan sporty apabila kerusi ala ‘bucket’ dibaluti kemasan kulit untuk memeluk tubuh dengan lembut.

Penulis cukup berpuas hati dengan komponen keseluruhan ruang kabin ini kerana kebanyakan ia menggunakan material lembut terutama bahagian papan pemuka dan panel pintu.

Apa paling menariknya, konsul tengahnya mempunyai pad sesentuh untuk memudahkan pemandu mengakses pelbagai aplikasi ditawarkan yang boleh dilihat menerusi skrin tujuh inci yang menyajikan berbagai informasi khas Lexus.

Proses untuk mengenali fungsi itu tidaklah terlalu sukar, tetapi penulis nasihatkan supaya tidak menggunakannya ketika memandu kerana ia akan melalaikan pemanduan.

Malah, kenderaan ini menjadikan kereta pandu uji pertama penulis yang dilengkapi ciri baru iaitu pengecas tanpa wayar Qi terletak di dalam kotak konsol.

Pemiliknya hanya perlu meletak telefon pintar di atasnya dan ia akan mengecas secara automatik, namun ia lebih mesra kepada pengguna android bersaiz kecil.

Sesuai dengan kereta premium, sistem bunyinya diperkuatkan dengan hiburan Mark Levinson dengan 14 pembesar suara dan kualiti audio ditawarkan sangat menampung untuk mendengar konsep teater.

Biarpun sebuah SUV, prestasinya juga setaraf keluarga Lexus lain yang menggunakan sistem pacuan semua (AWD) dengan menggunakan enjin 2.0 liter.

Sebenarnya, Lexus NX adalah model pertama menggunakan enjin 2.0 liter ‘twinscroll turbocharged’ bagi menggantikan rangkaian kuasa aspirasi biasa (N/A) seperti enjin V6 bersesaran 2.5 liter pada model keluarannya sebelum ini.

Enjin turbo itu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 235 hp antara 4,800 hingga 6,500 rpm dengan tork mencecah 350 Nm yang disalurkan kepada kotak gear automatik enam kelajuan.

Tork setinggi itu sudah cukup enak untuk memecut. Sebaik kaki menekan padel minyaknya jentera ini boleh meluncur laju tanpa teragak-agak, malah turut boleh memilih mod gaya pemanduan membabitkan Eco, Normal dan Sport.

Bagaimanapun, penulis hanya menggunakan dua mod saja iaitu Eco dan Sport sepanjang memandu uji jentera ini.

Ini kerana, mod Eco sesuai untuk digunakan di kawasan bandar dengan pemanduan yang lebih santai, manakala Sport digunakan ketika melalui jalan lurus dan lebuh raya bagi mencapai kelajuan maksimum.

Pengendalian juga sangat mantap di kawasan selekoh dan tidak ubah seperti memandu kereta sedan biasa.

Malah, sepanjang memandu di jalan tidak rata suspensinya bermain dengan baik untuk mengurangkan rasa bergoyang.

Lexus NX terbaru itu turut menerima penarafan lima bintang dalam ujian perlanggaran EURO NCAP, yang mana ia dilengkapi lapan beg udara, Bantuan Brek, Kawalan Cengkaman (TC), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Paparan Titik Buta (BSM), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA) dan kamera undur.

INFO

LEXUS NX 200t F-SPORT

- ENJIN: 2.0 L ‘twinscroll turbocharged’

- KUASA MAKSIMUM: 235 hp antara 4,800 sehingga 5,600 rpm

- TORK MAKSIMUM: 350 Nm antara 1,650 sehingga 4,000 rpm

- TRANSMISI: Enam kelajuan automatik

- PECUTAN 0-100 km/j: 7.1 saat

- CIRI KESELAMATAN: Lapan beg udara, ABS, BA, VSA, HSA, BSM dan RCTA.

- HARGA: RM362,432

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:07 AM