NAJIB bersama  Tony  (tengah), Mukhriz  (dua dari kanan) dan  Tiong Lai (lima dari kanan)  bersama kakitangan AirAsia  menyambut ketibaan penerbangan sulung pesawat AirAsia  dari Guangzhou, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
NAJIB bersama Tony (tengah), Mukhriz (dua dari kanan) dan Tiong Lai (lima dari kanan) bersama kakitangan AirAsia menyambut ketibaan penerbangan sulung pesawat AirAsia dari Guangzhou, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Oleh Ahmad Saufi Mansor

Langkawi: AirAsia Group (AirAsia) menyasar untuk membawa tiga juta lagi penumpang ke Langkawi dalam tempoh lima tahun akan datang, susulan permintaan berpotensi bagi pulau peranginan terkenal itu berbanding hanya 1.6 juta penumpang pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes berkata, bagi memastikan usaha itu berjaya, AirAsia sedang meneliti lebih banyak laluan antarabangsa dari dan ke Langkawi, termasuk dari Hong Kong, Jakarta, Indonesia serta Shanghai, China.

“Ini kerana AirAsia melihat Langkawi mempunyai potensi untuk berkembang dalam bidang pelancongan kerana ia mempunyai suasana yang cantik dan menarik untuk ditawarkan kepada pelancong, tetapi tiada penerbangan bagi untuk menjadikan perkembangannya lebih pesat.

“AirAsia mahu mengubah keadaan untuk memastikan perkembangan lebih baik untuk sektor pelancongan di Langkawi dan penerbangan sulung terus dari Guangzhou, China ke Langkawi menjadi detik permulaan,” katanya pada majlis sambutan ketibaan penerbangan terus dari Guangzhou, China ke Langkawi yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Lang Merah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar.

Penerbangan menggunakan pesawat Airbus A320 berkenaan mempunyai kekerapan empat kali seminggu dua hala iaitu Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi pada Mac tahun lalu, syarikat penerbangan tambang rendah itu mengumumkan Langkawi akan menjadi hab antarabangsa terbarunya.

“Dengan menjadikan Langkawi sebagai hab antarabangsa, kami yakin dan boleh meningkatkan trafik pelancongan di pulau ini.

“Kami membuat pelaburan besar untuk memastikan hab ini boleh menampung dan memudahkan pertumbuhan trafik kami, sekali gus mencapai matlamat untuk menjadikan Langkawi sebagai hab penerbangan tambang murah (LCC) serantau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 6:51 AM