Intan Ladyana bersama keluarganya.
Intan Ladyana bersama keluarganya.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon, Intan Ladyana selamat melahirkan anak kedua yang juga bayi lelaki tengah hari, hari ini.

Suaminya yang juga pelakon, Harris Alif berkata, walaupun tidak dapat berada di sisi isterinya, dia bersyukur proses bersalin dipemudahkan Allah.

Menurut Harris, isterinya ke hospital pada jam 8 pagi ditemani ibunya atas saranan doktor memandangkan esok genap usia kandungan 40 minggu. 

"Semestinya sebagai suami saya ingin berada di sisi Intan, namun saya perlu menjaga anak sulung kami, Evie Khadeeja yang begitu rapat dengan Intan. Jadi, kalau tiada ibunya, saya perlu menemani Evie.

"Sejak awal kandungan lagi kami sudah berbincang mengenai hal ini, jadi kami memutuskan ibu saya untuk menemani Intan di dalam bilik bersalin. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan kerana prosesnya tidak mengambil masa yang lama.

"Pagi tadi sekitar 8 pagi, Intan ke hospital atas saranan doktor biarpun dia tidak mengalami rasa sakit hendak bersalin. Kemudian jam 10 pagi masuk ke bilik bersalin dan sekitar jam 12.43 tengah hari sudah selamat melahirkan anak kedua kami," katanya. 

Berita gembira itu dikongsikan Haris menerusi video yang di muat naik di Instagram Story. Harris bersama anak pertamanya iaitu Evie Khadeeja memaklumkan dia sempat melakukan panggilan video selepas isterinya selamat bersalin.

"Memandangkan ini adalah cahaya mata kedua, jadi kami lebih tenang dan relaks berbanding ketika hendak menyambut anak sulung dulu. Bukan apa, sudah ada pengalaman jadi tidaklah begitu kelam kabut seperti yang pertama. 

"Malah, kami juga sudah bersedia dalam beberapa aspek sebelum Intan bersalin. Nama juga sudah ada namun tunggu sehingga saya dapat berjumpa anak kedua dulu, nanti saya kongsikan di media sosial buat semua.

"Bergelar bapa kepada dua cahaya mata pastinya tanggungjawab dan tugas menjadi lebih besar, jadi kami sebagai ibu bapa perlu pandai membahagikan masa. Semoga semuanya dipermudahkan..Insya-Allah," katanya.

Intan atau Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, 42, mendirikan rumah tangga dengan Harris pada 5 Februari 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 6:13 PM