NAJIB bersama Mukhriz (lima dari kanan) dan Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim (kanan) beramah mesra dengan orang ramai selepas mengadakan lawatan ke Jeti Kuala Sungai Chenang, semalam.
NAJIB bersama Mukhriz (lima dari kanan) dan Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim (kanan) beramah mesra dengan orang ramai selepas mengadakan lawatan ke Jeti Kuala Sungai Chenang, semalam.
Oleh Ahmad Saufi Mansor

Langkawi: Langkawi yang dikenali sebagai destinasi pelancongan pilihan di negara ini perlu menarik kehadiran pelancong mewah ke pulau peranginan itu selaras dengan pembangunan pesat yang sedang berlaku, sekali gus mampu menggiatkan perkembangan ekonomi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan bagi merealisasikan sasaran pembangunan berkenaan bagi memastikan setiap pelancong termasuk kategori pelancong mewah dapat melalui pengalaman yang cukup baik sepanjang berada di situ.

Menurut Najib, kerajaan juga bersedia menarik lebih ramai pelancong termasuk pelancong mewah dan mahu melihat banyak pembabitan sektor swasta dalam membangunkan ekonomi termasuk sektor pelancongan di Langkawi yang dianggap sebagai permata di negara ini.

“Saya melihat Langkawi sebagai permata yang amat bernilai kepada negara dan perlu mengambil peluang untuk melonjakkan sektor pelancongannya, tetapi sektor swasta juga seharusnya memainkan peranan dengan menyokong lebih banyak perancangan yang akan dilaksanakan.

“Kita akan membangunkan Langkawi kerana mahu berlaku perkembangan pesat dalam bidang pelancongan termasuk menjadi pilihan dalam kalangan pelancong dengan tawaran destinasi menarik, malah mengalu-alukan khidmat penerbangan terus seperti disediakan AirAsia, khususnya untuk laluan China yang terbukti mempunyai potensi besar daripada segi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan sambutan ketibaan penerbangan sulung terus pesawat AirAsia dari Guangzhou, China ke Langkawi di Kompleks Lang Merah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Najib berkata, dalam melengkapi keperluan pelancongan mewah di Langkawi, ia memerlukan hubungan secara simbiosis antara semua pihak seperti Malaysia Airport Berhad (MAB), Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang berganding bahu untuk memastikan impian berkenaan menjadi realiti.

“Benar kita perlukan medium penyambungan yang baik, tetapi dalam masa sama kita juga perlu pastikan Langkawi mempunyai lebih banyak hotel, fasiliti lebih baik serta infrastruktur sampingan untuk menyokong pertambahan pelancong,” katanya.

Najib kemudiannya mengadakan pertemuan dengan nelayan Langkawi di Jeti Pendaratan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Sungai Chenang, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 8:12 AM