ACARA sukan lasak bertaraf antarabangsa yang pernah diadakan.
ACARA sukan lasak bertaraf antarabangsa yang pernah diadakan.
Hafiz Ithnin

Pulau Langkawi begitu popular kerana menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik dan serba lengkap.

Di sebalik namanya yang menjadi antara pusat rujukan geopark antarabangsa dan lokasi pelancongan dunia, Langkawi sebenarnya antara destinasi tumpuan bagi aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dalam kalangan penganjur antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Azizan Noordin berkata, Langkawi adalah gugusan kepulauan daripada 99 pulau di Lautan Andaman dan mempunyai latar belakang panorama indah. Secara tidak langsung turut menjadi lokasi menarik untuk MICE dan acara istimewa lain.

Beliau berkata, bagi memastikan Langkawi terus menjadi tumpuan untuk aktiviti berkenaan, LADA bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan pengusaha dalam industri pelancongan tempatan.

“Pada tahun ini saja kita sudah merancang menjadi tuan rumah kepada sembilan acara antarabangsa dan domestik seperti penganjuran acara dari Finland, India, Macau serta Jerman. Oleh itu, kerjasama LADA bersama entiti yang terbabit dalam industri pelancongan penting bagi membolehkan delegasi menerokai pulau ini dan memberi limpahan ekonomi.

“Secara purata dalam setahun kita menjadi tuan rumah kepada kira-kira lapan hingga 10 acara persidangan antarabangsa yang mampu menjana pendapatan perbelanjaan antara RM55 juta hingga RM77 juta,” katanya.

Tidak sekadar menyediakan kemudahan lengkap kepada delegasi asing, malah LADA juga mempunyai insentif untuk mengembangkan MICE di Langkawi menerusi Pelan Merangka Tindak Pelancongan Langkawi 2011. Ia bagi memperkenalkan insentif sokongan MICE dan Program Insentif Penerbangan Sewa Khas (LCFIP) ke pulau berkenaan.

PERSEMBAHAN konsert dari dalam dan luar negara diadakan di Langkawi.
PERSEMBAHAN konsert dari dalam dan luar negara diadakan di Langkawi.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, insentif sokongan MICE terbahagi kepada kumpulan asing dan domestik. Bagi kumpulan asing antarabangsa mereka boleh menyaksikan persembahan kebudayaan untuk majlis makan malam atau sambutan di lapangan terbang, tajaan makan malam atau minum petang serta bahan promosi.

Bagaimanapun, minimum untuk 80 orang dan menginap di Langkawi sekurang-kurangnya tiga malam. Bagi kumpulan domestik kelayakannya sama seperti kumpulan asing. Bagaimanapun mereka layak untuk mendapat tajaan makan malam atau minum petang dan bahan promosi.

Bagi LCFIP, LADA bekerjasama dengan Malaysia Airports Bhd (MAHB) untuk meningkatkan jaringan penerbangan mudah kepada pemain syarikat penerbangan yang setakat ini terdapat tiga laluan antarabangsa iaitu Singapura, Chengdu dan Guangzhou, China ke Langkawi.

“Perkara ini memainkan peranan penting bagi menarik kunjungan pelancong terutama pada musim tidak sibuk,” katanya.

“Tidak ketinggalan, LADA juga bekerjasama dengan MAHB mempromosikan Langkawi kepada syarikat penerbangan untuk menjadikan pulau ini sebagai hab penerbangan di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Menerusi LCFIP terdapat pelbagai insentif lain diusahakan bagi memastikan jaringan penerbangan dan peningkatan kemasukan pelancong asing antaranya mewujudkan dana sokongan pemasaran diberikan untuk ketua perjalanan.

Program itu sah dari 1 Januari 20019 hingga 31 Disember 2020 memberi ganjaran berdasarkan bilangan penerbangan setiap program khas yang dirancang ketua perjalanan.

SAMBUTAN kebudayaan di lapangan terbang menarik perhatian pengunjung.
SAMBUTAN kebudayaan di lapangan terbang menarik perhatian pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 6:50 AM