ONG Kim Swee. FOTO MOHD ADAM ARININ
ONG Kim Swee. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kedudukan Datuk Ong Kim Swee sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC kekal sehingga akhir musim ini berdasarkan kontrak yang sudah dipersetujui sebelum ini.

Berikutan itu, Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid, berkata tidak timbul soal pengganti atau siapa bakal mengambil alih tempatnya seperti persoalan yang ditimbulkan melalui khabar angin, baru-baru ini.

Persoalan itu, katanya hanya akan difikirkan selepas kontrak Kim Swee tamat atau jika beliau membuat keputusan untuk menerima tawaran baharu sebelum kontraknya tamat.

"Tidak timbul soal kalau bukan Datuk Ong Kim Swee siapa lagi yang kedua sebab kontraknya hingga hujung musim ini.

"Jadi sama ada Datuk Ong Kim Swee atau tidak, itu difikirkan setelah tamat kontrak beliau atau dia sendiri membuat keputusan untuk menerima tawaran baharu.

"Tapi, setakat ini perkara itu belum muncul, jadi secara ringkas beliau akan bersama kita sepanjang musim ini dan begitu juga dengan pemain lain," katanya pada sesi bersama media, di sini, hari ini.

Mohd Joh mengulas khabar angin dan laporan tular baru-baru ini yang antara lain menyebut kemungkinan Kim Swee bakal meninggalkan Sabah FC secara mengejut.

Khabar angin itu dikaitkan dengan kekosongan jawatan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang mana Majlis Sukan Negara (MSN) dikatakan berminat mendapatkan khidmat Kim Swee.

Bagaimanapun, Kim Swee dilaporkan menyifatkan perkara itu sebagai spekulasi berikutan wujud kekosongan jawatan tertentu, lebih-lebih lagi tiada sebarang perbincangan rasmi dibuat.

Kim Swee sebelum ini turut menyatakan tumpuannya kini untuk kekal bersama Sabah, terutama dalam menghadapi saingan musim baharu Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 5:15 PM