Najib menerima cenderahati Tony (dua dari kanan) selepas majlis perasmian penerbangan AirAsia Langkawi-Shenzen China. FOTO Amran Hamid
Najib menerima cenderahati Tony (dua dari kanan) selepas majlis perasmian penerbangan AirAsia Langkawi-Shenzen China. FOTO Amran Hamid
Meor Riduwan Meor Ahmad


SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia yakin potensi Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia mampu terus diteroka terutama dalam memperluaskan jaringan perhubungan udara antarabangsa.

Mengambil contoh Phuket di Thailand dan Bali di Indonesia, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, yakin Langkawi mampu menjadi seperti dua destinasi itu yang memiliki jaringan perhubungan antarabangsa yang cukup luas sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

Justeru, beliau berkata pihaknya kini sedang mengintai untuk memperluas jaringan perhubungan Pulau Lagenda sebagai tambahan kepada dua penerbangan terus antarabangsa iaitu Singapura dan Guangzhou dengan pengenalan laluan ke Shenzhen.

Beliau berkata, sejak laluan penerbangan itu dilancarkan pada 9 Ogos lalu, ia menerima maklum balas amat positif selari misi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk menembusi pasaran antarabangsa yang baru.

"Dengan kekerapan penerbangan tiga kali sehari, ia dijangka mampu meningkatkan kehadiran pelancong ke pulau bebas cukai ini dan menjadikannya destinasi pelancongan bertaraf dunia," katanya berucap pada perasmian laluan baharu itu yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Kompleks Lang Merah, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada tahun lalu Perdana Menteri melancarkan laluan penerbangan antarabangsa terus ke Guangzhou dari Langkawi dan dengan inisiatif kerajaan termasuk pengurangan cukai lapangan terbang sekali gus membolehkan pihaknya menawarkan tambang lebih murah kepada penumpang.

Katanya, langkah berani itu menyaksikan impak positif dengan peningkatan dalam jumlah kehadiran pelancong antarabangsa yang menggunakan penerbangan terus ke Langkawi.

"Jumlah pelancong antarabangsa ini meningkat daripada 83,754 orang pada 2015 kepada 187,433 orang pada 2016 iaitu pertumbuhan sebanyak 120 peratus.

"Ini menyumbang RM130 juta kepada keluaran negara kasar. Tahun ini saja kita membawa satu juta pelancong ke Langkawi menerusi 238 penerbangan mingguan dari pulau ini.

"Sasaran kami adalah untuk menarik tiga juga pelancong dan menjadi penyumbang terbesar kepada hasil RM9 juta disasarkan LADA," katanya.

Tony berkata, ketika ini ada tujuh laluan penerbangan AirAsia dari Langkawi, iaitu empat domestik meliputi Kuala Lumpur, Penang, Johor Bahru dan Kucing, selain tiga antarabangsa, Singapura, Guangzhou dan Shenzhen.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Bersempena pelancaran itu, AirAsia menawarkan promosi tambang dari RM159 untuk penerbangan sehala dari Langkawi ke Shenzhen dari 21 hingga 27 Ogos ini bagi penerbangan antara 21 Ogos hingga 25 Februari 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 8:46 PM