Oleh Adnan Mohamad


Kota Bharu: Kerajaan memperuntukkan RM400,000 bagi menghadapi banjir di Kelantan tahun ini, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Menurutnya, peruntukan itu termasuk bagi melakukan persediaan bencana di 170 pangkalan hadapan yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir.

Katanya, 70 lori, 237 pacuan empat roda, 128 bot dan dua helikopter akan digerakkan sebaik air sungai mencecah paras bahaya dan memasuki perkampungan.

"Perbincangan sudah dibuat dengan semua agensi berkaitan dan aset akan mula bergerak apabila air naik dan cecah paras bahaya.

"Penempatan sementara bagi mangsa akan dibuka di sekolah-sekolah dan kita yakin dapat hadapi musibah ini dengan baik berdasarkan persiapan yang sudah dilakukan," katanya.

Beliau ditemui pada Program Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 3:38 PM