KETINGGIAN falsafah Michelangelo dapat dilihat menerusi binaan anak tangga di Laurention Library ini.
KETINGGIAN falsafah Michelangelo dapat dilihat menerusi binaan anak tangga di Laurention Library ini.
Oleh Hartini Mohd Nawi

Pengaruh seni bina dunia meletakkan nama arkitek terdahulu antara yang dikagumi ideanya. Masing-masing tampil dengan perincian binaan unik yang tiada tandingan hingga hari ini.

Arkiter Frank Lloyd Wright menggelarkan seni arkitektur itu sendiri sebagai ibu seni yang membawa perlambangan tanpa seni bina daripada kita sendiri, kita tidak mempunyai jiwa ketamadunan.

“Apabila kedua-duanya digabungkan ia menjadi satu keperluan praktikal dan menzahirkan seni budaya.

“Arkitek tidak hanya membina tamadun, tetapi keindahannya sekali,” kata Wright satu ketika dulu.

Malah, ramai yang mengakui bahawa Wright ialah arkitek paling terkenal di era moden. Tokoh ini juga terkenal dalam mengintegrasikan reka bentuk dengan alam semula jadi.

Binaan rumah di atas air terjun yang dinamakan Fallingwater di Pennsylvania, Amerika Syarikat dan Muzium Guggenheim di New York City antara idea seni yang dikagumi hingga hari ini.

Frank Gehry pula dilahirkan di Kanada pada 1929 yang akhirnya menjadi peneraju seni bina pasca moden.

Berbeza daripada biasa, Gehry cuba meneroka reka bentuk yang tidak teratur dan radikal iaitu bentuk ekspresif.

Memulakan pemerhatian antara 1960-an hingga 1970-an yang ketika itu perabot daripada kadbod semakin popular.

Menjelang 1990-an, Gehry cuba menghasilkan reka bentuk organik, beralun dan struktur yang mengalir bebas.

Seni bina Muzium Guggenheim di Bilbao, Sepanyol yang dibuka pada 1997 itu antara sentuhan seni arkitek ini.

Ketiga, Ieoh Ming Pei yang dilahirkan pada 1917 di China dan sanggup ke Amerika Syarikat pada 1930-an semata-mata untuk untuk mengkaji seni bina.

Dalam setiap rekaannya, Ieoh sentiasa berusaha untuk menggabungkan konsep moden dan tradisional serta menggelarkannya sebagai impian yang mustahil.

Malah, rekaannya turut dianggap mempunyai kesinambungan daripada gaya antarabangsa yang dipopularkan arkitek seperti Le Corbusier.

Dalam tahun 1960-an, Ieoh dipilih untuk mereka bentuk terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy. Selain itu, mendapat pengiktirafan pada 1974 menerusi seni bina National Gallery of East.

Turut hebat adalah piramid kaca kontroversi di halaman Muzium Louvre di Paris, yang dibina pada 1989.

Keempat, Ludwig Mies van der Rohe yang dilahirkan pada 1886 di Jerman ini juga dianggap arkitek moden.

Idea dapat dilihat menerusi peralihan dari gaya tradisional abad ke-19 dalam gaya anggun dan minimalis pada abad ke-20.

Sementara di Amerika Syarikat, rekaan banyak membabitkan bangunan pencakar langit termasuk Seagram di New York City dan pangsapuri Lake Shore Drive di Chicago.

Pada masa sama turut memaparkan kesederhaan dalam setiap seni binanya.

Antoni Gaudi pula antara arkitek yang dilihat menjadikan alam semula jadi sebagai inspirasi. The Cathedral of the Sagrada Familia di Barcelona antara karya beliau yang hebat dan mendapat pengiktirafan.

Menyifatkan rumah adalah mesin untuk hidup, seni bina Le Corbusier dilihat cuba membangunkan gaya antarabangsa.

Rekaannya membabitkan pelan lantai aliran bebas dan ruang sokongan yang juga membenarkan dinding diletakkan struktur bebas, selain bumbung rata dipadankan.

Tidak ketinggalan Louis Henri Sullivan pula selesa dengan falsafah bentuk mengikut fungsi. Tokoh ini juga cuba sedaya upaya membebaskan diri daripada binaan tradisi.

Beliau memainkan peranan penting dalam mewujudkan reka bentuk bangunan tinggi gaya baru tanpa terikat dengan gaya tradisional. Rekaannya juga menggabungkan bentuk geometri dan unsur organik.

Dalam keadaan biasa, Sir Christopher Wren antara arkitek ternama dikagumi. Asalnya tokoh ini adalah seorang profesor astronomi yang kemudian menceburi dunia seni bina.

Di samping itu, Mimar Sinan antara arkitek paling berpengaruh di Turki yang banyak mereka bentuk masjid berkubah dengan simbol kepentingan agama dan politik di Empayar Uthmaniyyah.

Michelangelo antara arkitek yang menyimpang daripada gaya klasik dan menentang jangkaan tradisional.

Sumbangan yang paling terkenal Michelangelo kepada seni bina ialah Basilika St Peter yang menjadi mercu tanda antara terhebat di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 1:59 PM