MINYAK pelincir bocor melalui pelapik.
MINYAK pelincir bocor melalui pelapik.

Saya mempunyai masalah dengan Perodua Kancil bersesaran 850 cc yang berusia kira-kira 12 tahun. Enjinnya kerap panas terutama jalan sesak dan penunjuk suhu hampir mencatatkan pada paras ‘H’.

Jika pemanduan lancar, ia berada pada paras separuh. Sebelum ini, pernah berlaku sehingga air mendidih dan menyebabkan saya terpaksa berhenti seketika sebelum menyambung perjalanan.

Sehingga kini, saya risau dengan keadaan kereta itu kerana kerap memandunya untuk berulang-alik ke tempat kerja.

ROSZAIME ABD RAHIM, Gombak, Kuala Lumpur

Enjin Perodua Kancil adalah kecil dan pengggunaan harian ke tempat kerja sebenarnya adalah penggunaan dikategorikan sebagai lasak, sekiranya memandu dalam keadaan jalan raya sesak serta aliran trafik terhenti-henti.

Dengan umurnya, ada kemungkinan pelapik kepala silinder sudah bocor sedikit dan berlakunya tekanan gas dari kebuk pembakaran masuk ke dalam aliran penyejukan sekali gus mengakibatkan suhu cecair penyejuk serta tekanannya panas.

Ia juga mungkin berpunca daripada minyak pelincir bocor melalui pelapik dan mengakibatkan sedikit minyak pelincir masuk ke dalam aliran cecair penyejuk.

Dalam keadaan itu, cecair penyejuk akan berminyak serta memberikan masalah kepada sistem penyejukan anda.

Satu masalah lazim sukar dikesan adalah keretakan kepala radiator terutamanya bagi yang menggunakan material polimer.

Keretakan itu mungkin kecil dan tidak kelihatan pada mata kasar. Cecair radiator hanya keluar sebagai wap bertekanan tinggi apabila enjin panas dan semakin berkurangan.

Kebocoran kepala silinder boleh berlaku sekiranya enjin panas melampau dan mengakibatkan bengkok. Keadaan itu bakal mewujudkan ruang kepada pelapik, blok enjin serta kepala silinder.

Kadangkala bengkok yang sedikit tidak kelihatan dengan mata kasar dan hanya boleh dikesan menggunakan permukaan rata seperti cermin khusus bagi menguji kerataan.

Bagaimanapun, rujuk kepada mekanik pengalaman untuk mencuci radiator dan perhatikan keadaan cecair penyejuk sama ada ia bercampur minyak atau tidak bagi mengenal pasti masalah sebenar kereta anda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 5:00 AM