ASAP keluar ketika persekitaran kereta sejuk memang biasa.
ASAP keluar ketika persekitaran kereta sejuk memang biasa.

Kereta saya kerap berasap pada waktu pagi ketika mula menghidupkan kereta, namun lama-kelamaan ia hilang.

Ada kawan memberitahu enjin mengalami kerosakan jika kereta berasap tetapi kenderaan saya masih baru dan tiada masalah lain ketika memandu.

Adakah ini sesuatu yang memerlukan pembaikan?

ZUL

Raub, Pahang

Asap putih atau wap air yang keluar melalui ekzos apabila mula menghidupkan enjin kereta perlu diteliti secara lebih lanjut.

Jika ia keluar hanya ketika persekitaran kereta sejuk, ini mungkin biasa. Jika asap itu tidak hilang selepas kereta panas, anda mungkin mempunyai masalah.

Bagi kereta baru dan enjinnya beroperasi dalam keadaan baik, pengeluaran wap air yang kelihatan seperti asap ini adalah normal dan kadangkala dituruti dengan lelehan air menitis dari ekzos. Ini adalah wap air yang terhasil daripada pembakaran sempurna bahan api.

Apabila enjin menjadi lebih panas, wap air ini akan kering sebelum keluar dari ekzos, kerana itu ia tidak lagi kelihatan.

Namun wap air keluar daripada kereta mungkin berpunca daripada masalah cecair penyejukan, membayangkan ada kebocoran dalam sistem itu seperti gasket kepala silinder yang bocor.

Bagaimanapun, jika anda tiada masalah kekurangan cecair penyejuk enjin di dalam radiator dan wap air hilang selepas enjin dipanaskan, anda boleh bertenang dengan mengetahui enjin sebenarnya beroperasi baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:01 AM