Saya menggunakan Proton Saga FLX sudah hampir dua tahun dan tidak pernah mengalami masalah untuk menghidupkan enjin. Namun, keadaan berubah selepas menukar radiator yang rosak akibat kemalangan kecil.

Selain itu, saya tidak menyedari ia bocor sehingga kepanasan enjin mencapai tahap maksimum dan mengakibatkan enjin mati sendiri.

Selepas memasang radiator baru, enjin sukar dihidupkan biarpun saya sudah menukar palam pencucuh dengan yang baru.

Bagaimana cara menyelesaikan masalah saya?

ISMAEL AZIZ

Selangor

Secara ringkasnya, masalah anda bermula selepas mengalami kepanasan melampau.

Malangnya, banyak faktor yang terjejas berikutan kepanasan melampau, daripada kebocoran gasket sehingga perubahan bentuk komponen kereta seperti kepala silinder.

Walaupun enjin dimatikan secara sendiri, ia bukan jaminan bahawa enjin anda tidak mengalami kerosakan.

Palam pencucuh adalah antara faktor yang mempengaruhi keberkesanan penghidupan enjin. Namun, ia bergantung kepada proses operasi enjin membabitkan beberapa faktor lain seperti penyuapan bahan api dengan kadar yang betul, mampatan dan pemasaan nyalaan.

Kebocoran mampatan yang kecil turut menyukarkan enjin dihidupkan.

Kebocoran itu berlaku akibat komponen yang bengkok atau berubah bentuk seperti kepala silinder atau injap. Cuba minta pandangan pusat servis Proton dan mekanik berpengalaman.

Andainya masalah itu turut dialami ketika enjin masih panas, mungkin membaik pulih sepenuhnya perlu dilakukan segera.

Kepala silinder perlu diperiksa dan dibuka untuk pemeriksaan rapi. Selain itu, periksa komponen kecil seperti hos kemasukan udara, hos vakum yang mungkin rosak akibat kepanasan, badan pendikit atau suntikan bahan api.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:05 AM