Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM
skrudanspanar@gmail.com

Saya mempunyai Perodua Myvi automatik. Ketika mengalami masalah enjin kereta ‘overheat’, saya tetap memandu meneruskan perjalanan ke rumah dan selepas beberapa hari, enjin tidak dapat dihidupkan.

Saya mendapati kandungan cecair radiator sentiasa berkurangan dan pemeriksaan tidak menemui tanda kebocoran atau titisan air.

ADAM ZUBIR,

Kulim, Kedah

Ada kemungkinan besar berlaku kebocoran cecair penyejuk melalui retakan halus yang sukar dilihat termasuk tiada air menitis atau bertakung ketika parkir.

Ia selalu berlaku terhadap kereta moden menggunakan kepala radiator daripada jenis polimer atau plastik dan bukan tembaga atau aluminium seperti kenderaan lama.

Cecair penyejuk yang panas akan bertukar menjadi wap bertekanan tinggi dan akan keluar perlahan-lahan melalui retakan kepala penutup radiator hingga menyebabkan kekurangan cecair penyejuk.

Keadaan ini hanya berlaku apabila kereta dipandu dalam cuaca panas dan tiada kebocoran sekiranya enjin sejuk dan bertekanan rendah. Kebocoran atau retak ini kadangkala terlindung dan tidak kelihatan seperti di pangkal kepala hos air.

Enjin yang mengalami kepanasan melampau atau ‘overheat’ lazimnya akan menyebabkan kepala silinder (cylinder head) menjadi bengkok dan menyebabkan permukaan bertangkup dengan blok enjin tidak lagi rata lalu menyebabkan enjin gagal hidup.

Kemungkinan gasket kepala silinder bocor kerana permukaan bertangkup tidak lagi rata dan apabila berlaku, cecair penyejuk lazimnya turut bocor masuk ke kebuk pembakaran dan enjin gagal dihidupkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 5:44 AM