Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: Remaja lelaki ditemui lemas ketika mandi di lombong bauksit di Ladang Makmur Bukit Goh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, Nabil Ariff Shaari, 14, dari Taman Impian, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazahnya kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama rakannya dipercayai lebih daripada lima orang tiba di lombong berkenaan untuk mandi.

Kejadian itu disedari seorang daripada rakan mangsa yang melihat pelajar tingkatan dua berkenaan terkapai-kapai meminta pertolongan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Othman Bakar, ketika dihubungi, di sini, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 4:05 PM