Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

 

Kuantan: Kanak-kanak berusia enam tahun lemas ketika mandi bersama ahli keluarganya di kolam renang hotel, dekat sini, semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berkata, kanak-kanak berkenaan dikenali Emir Sufi Razeq Md Nasir yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

"Kejadian berlaku 7.50 malam dan ketika itu mangsa sedang mandi di kolam renang bersama beberapa ahli keluarganya.

"Mangsa dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam. Ahli keluarga mangsa yang berada di tempat kejadian cuba menyelamatkannya namun mangsa sudah meninggal dunia," katanya di sini, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 11:32 AM