Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: "Saya beritahu kakak tak payah ambil seluar itu. Tapi, kakak tetap masuk juga ke dalam kolam itu,” kata Mohammad Aiman Hakimi, 10.

Mohammad Aiman adalah adik arwah Sasabella Zulhairi, 12, yang lemas dalam kejadian di bekas lombong bauksit di Sunga Karang Jaya, di sini, petang semalam.

Mohammad Aiman berkata, sebelum itu dia masuk ke dalam kolam itu untuk mengambil sesuatu.

“Ketika itu saya juga hampir lemas namun dapat berenang ke tepi kolam. Tapi seluar saya tertanggal. Tak sangka kakak masuk juga ke dalam kolam untuk ambil seluar,” katanya.

Menurutnya, apabila melihat kakaknya terkapai-kapai, arwah Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10, iaitu kawan Allahyarham Sasabella terjun ke dalam kolam.

“Tapi, kawan kakaknya juga lemas,” kata Mohammad Aiman menceritakan detik itu ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), malam tadi.

Mohammad Aiman berkata, selepas itu arwah adiknya, Mahathir Mohamad, 7, pula bertindak terjun ke dalam kolam itu.

Arwah kakak dan adik lelakinya ditemui lemas bersama teman kakaknya dalam kejadian kira-kira 5.40 petang, semalam.

Jasad ketiga-tiga kanak-kanak itu ditemui penduduk kampung.

Mohammad Aiman berkata, sebelum kejadian mereka berempat bersama tiga lagi rakan pada awalnya hendak ke taman permainan berhampiran.

Bagaimanapun, katanya, mereka singgah di kolam berkenaan.

Katanya, itu adalah kali pertama mereka henak bermain di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata: “Berdasarkan keterangan saksi, mereka bukan hendak mandi sebaliknya hanya bermain.

“Tapi, seorang daripada mereka masuk ke dalam kolam untuk mengambil seluar adiknya yang tertanggal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 2:31 AM