Anggota bomba memberi bantuan kecemasan kepada Wan Zulkhairie  sebaik ditemui namun dia kemudian disahkan sudah meninggal dunia. - Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba memberi bantuan kecemasan kepada Wan Zulkhairie sebaik ditemui namun dia kemudian disahkan sudah meninggal dunia. - Foto Ihsan Bomba
Khairulmizan Yahya


Kuantan: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun lemas manakala rakannya yang berusia 16 tahun, masih hilang selepas mereka mandi di pantai Sungai Karang di sini, hari ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gebeng Mohamad Haniff Sulaiman berkata, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah di sini, bersama 15 rakan ke pantai berkenaan selepas tamat aktiviti sekolah sebelum empat daripada mereka turun mandi.

“Kira-kira jam 6 petang, kumpulan pelajar yang berada di pantai menyedari empat rakan mereka terkapai-kapai ditarik arus dan berusaha menyelamatkan mereka.

"Namun, mereka hanya berjaya menyelamatkan dua mangsa manakala dua lagi hilang dibawa arus.

“Mayat Wan Zulkhairie Abd Wan Aziz, 14, dari Kampung Chengal Lempung di sini, ditemui anggota JBPM yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 6.45 petang, 200 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, mangsa kedua, HarmizanAbdul Mutalib, 16, dari Kampung Balok di sini, masih belum ditemui dan operasi mencari mangsa masih dijalankan.

"Kira-kira 20 anggota termasuk JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan SAR bagi mengesan mangsa dengan bantuan penduduk,” katanya.

Jenazah Wan Zulkhairie dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 10:32 PM