PASUKAN penyelamat mencari Muhammad Saiful di Sungai Kuala Merah.
PASUKAN penyelamat mencari Muhammad Saiful di Sungai Kuala Merah.
Safuri Kamarudin


Baling: Kegembiraan lima sahabat ke Sungai Kuala Merah, Kuala Ketil, di sini, kelmarin, untuk mandi-manda dan berenang bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka hilang dihanyutkan arus deras.

Setakat jam 7 malam semalam, pasukan penyelamat yang melakukan operasi hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) belum menemui mangsa, Muhammad Saiful Aiman Kilinam, 16, dan operasi akan disambung pagi ini.

Menurut rakan mangsa, Mohd Hamizan Irwan, 14, mereka ke sungai itu untuk mandi, namun dia hanya memerhati dari atas tebing ketika empat rakannya mandi.

Katanya, mereka kelihatan gembira berenang ke seberang dan berpatah balik tetapi dengan tiba-tiba Saiful Aiman terkapai-kapai dipercayai keletihan sebelum sampai ke tebing.

“Rakan kami yang lain cuba membantu dan menarik tangannya, tetapi tidak terdaya kerana arus kuat dan dia dihanyutkan dalam sekelip mata.

“Saya kemudian berlari pulang meminta pertolongan penduduk mengenai kejadian itu.

“Kami amat sedih dengan apa yang berlaku kerana mangsa sahabat yang baik,” katanya.

Mohd Hamizan berkata, mereka ke sungai itu bersama Mohd Akil Asfah Isa,16, Mohd Aiman Syafik Yusri, 16, Nuryani Yahya, 16, dan Muhammad Saiful Aiman.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Suffian Alias berkata, operasi mencari mangsa masih giat dijalankan dengan bantuan unit Scuba dari Sungai Petani.

Beliau berkata, operasi mencari bermula petang kelmarin dan disambung jam 8 pagi semalam di beberapa kawasan kerana bimbang mangsa tersangkut di kayu atau tenggelam dalam lubuk.

“Usaha mencari diteruskan awal pagi ini (semalam), bagaimanapun mangsa masih belum ditemui.

“Dengan cuaca yang tidak menentu dan air sungai keruh turut menyukarkan operasi mencari mangsa di sungai itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 10:07 AM