NORHALIM (empat dari kiri) bersama wakil syarikat selepas majlis menandatangani perjanjian di Universiti Putra Malaysia, semalam.
NORHALIM (empat dari kiri) bersama wakil syarikat selepas majlis menandatangani perjanjian di Universiti Putra Malaysia, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Serdang: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) melalui tiga syarikat penerima gerannya meluaskan lagi perniagaan teknologi tempatan ke luar negara apabila menandatangani kerjasama strategik dengan dua syarikat dari Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Norhalim Yunus berkata, kerjasama itu membabitkan syarikat tempatan yang menerima beberapa geran daripada MTDC termasuk Dana Pembangunan dan Kajian Pengkomersilan (CRDF), Dana Permulaan Perniagaan (BSF), Dana Pertumbuhan Perniagaan (BGF) dan lain-lain.

“Ini bukan perjanjian kali pertama membabitkan syarikat Indonesia, namun pada kali ini, ia lebih fokus kepada dua sektor berpotensi utama iaitu minyak dan gas (O&G) serta industri halal,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian terbabit di sini, semalam.

Majlis itu dianjurkan sempena Bengkel Pembangunan Ekosistem Pengkomersilan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) - MTDC untuk Pembuat Dasar ASEAN terutama Indonesia. Tiga perjanjian yang ditandatangani ialah antara MIFF Holding Sdn Bhd dan PT Mugi Mukti Abadi di mana ia membolehkan syarikat tempatan memasarkan perkhidmatan pembersihan hijau Samak kepada pasaran Indonesia.

Perjanjian kedua pula antara Euro Circuit Sdn Bhd dan PT Mugi Mukti Abadi di mana syarikat Malaysia melantik syarikat Indonesia itu bagi menjadi pengedar produk penyelesaian bio bagi pembersihan hijau/agen nyahgris berasaskan air bagi pasaran minyak dan gas Indonesia.

Selain itu, terdapat perjanjian antara Majestic Offshore Sdn Bhd dan PT Repapesi Great River di mana syarikat Indonesia itu dilantik menjadi pengedar bagi perkhidmatan pemeriksaan saluran paip produk luar pesisir untuk pasaran minyak dan gas Indonesia.

Beliau berkata, kerjasama itu dilihat penting dalam menggalakkan teknologi rentas sempadan terutama dalam rantau ASEAN selari dengan pelaksanaan Pasaran Bersama ASEAN dan Hubungan ASEAN pada tahun depan.

“Saya berpendapat kerjasama antara Malaysia dan negara ASEAN termasuk Indonesia ini lebih sesuai dengan keperluan serantau di mana kita mampu membangunkan teknologi yang sesuai dengan budaya masyarakat setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 7:09 AM